Gema Semua Maklumat

Ketua Polis Negara bersara esok

Ketua Polis Negara bersara esok

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1438H, Ahad – Tan Sri Khalid Abu Bakar akan menamatkan perkhidmatannya secara rasmi sebagai Ketua Polis Negara pada satu majlis serah terima tugas di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) di sini, esok.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadual menyaksikan majlis serah terima tugas jawatan tertinggi dalam Polis DiRaja Malaysia (PDRM) itu.

Khalid berkata, persaraannya, yang dibuat awal sehari sebelum hari lahirnya pada Selasa ini, diputuskannya sendiri.

“Ya, memang benar saya akan bersara esok… perancangan saya selepas ini adalah mengikuti kelas memasak di Malaysian Institute of Baking di Petaling Jaya,” katanya.

Khalid akan diraikan pada majlis Perbarisan Khas sempena persaraan beliau di Padang Kawad, Pulapol yang dijadual pada 2.30 petang Isnin.

Khalid, yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, berpengalaman lebih 40 tahun dalam PDRM selepas memulakan khidmatnya dengan pasukan keselamatan itu sebagai inspektor pada 5 Disember 1976.

Antara jawatan penting yang pernah disandangnya adalah Ketua Polis Negeri Sembilan (2005), Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (2006) dan Ketua Polis Selangor (2007), Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (2010) dan Timbalan Ketua Polis Negara (2011).

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 bagi menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak. – Bernama

The post Ketua Polis Negara bersara esok appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ketua Polis Negara bersara esok
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ketua Polis Negara bersara esok"

Back To Top