RAKHINE, 10 Zulhijjah 1438H, Jumaat – Etnik Muslim Rohingya berdepan ancaman keselamatan selepas rejim Myanmar sekali lagi menyerang dan membakar sebuah kampung terpencil, Myoma Kayin Dan yang diduduki oleh 2,000 penduduk awam tidak bersenjata.
Menurut salah seorang penduduk yang dikenali sebagai Ahmed berkata, terdapat sungai besar di belakang kampung terbabit menyebabkan penduduk mengalami kesukaran untuk melarikan diri.
“Wanita dan kanak-kanak tidak dapat menyeberangi sungai itu, kami sangat bimbang kerana akan terperangkap di antara sungai dan tentera tanpa sebarang bekalan makanan.
“Jika mereka (rejim) membakar kampung ini, maka kami semua berdepan masalah, dan tidak mempunyai tempat untuk berlindung,” katanya seperti dilapor Al-Jazeera.
Berdasarkan imej satelit yang dikumpul oleh Human Rights Watch (HRW) menunjukkan sekurang-kurangnya 10 kawasan di sepanjang 100 kilometer di utara Rakhine bersempadan Bangladesh telah dibakar sejak lima hari lalu.
Ia susulan serangan kumpulan bersenjata, Arakan Rohingya Salvation Army (ARSA) terhadap puluhan pos pemeriksaan kerajaan pada Jumaat lepas, sehingga menyebabkan lebih daripada 70 orang terbunuh termasuk 12 pengawal keselamatan.
“Kami memaklumkan kepada tentera bahawa tiada pejuang di sini, mereka boleh datang untuk memeriksa, tetapi sebaliknya mereka menembak dan membakar rumah kami…kami tiada mana-mana tempat untuk pergi, semua orang sedang tertekan dan orang ramai cuba membunuh diri,” kata Ahmed.
Sekurang-kurangnya 109 orang terbunuh dalam operasi ketenteraan dan pertempuran, susulan serangan minggu lepas. Menurut kerajaan Myanmar, kebanyakan mangsa merupakan pejuang Rohingya walaupun anggota pasukan keselamatan dan orang awam termasuk dalam jumlah tersebut.
Sejak seminggu lalu, hampir 50,000 umat Islam Rohingya telah melarikan diri daripada serangan keganasan di wilayah itu.
Kira-kira 27,000 orang melarikan diri melintasi sempadan ke Bangladesh, manakala 20,000 lagi masih terperangkap di antara dua negara itu, menurut sumber Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).- Agensi
The post Lagi tentera Myanmar bakar perkampungan Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Lagi tentera Myanmar bakar perkampungan Rohingya
0 Komentar untuk "Lagi tentera Myanmar bakar perkampungan Rohingya"