Oleh Siti Fatimah Ishak dan Nur Syahirah Che Yaakob
KUALA LUMPUR, 21 Zulhijjah 1438H, Selasa – Hasrat gerakan liberal yang mahu Malaysia meniru Barat dalam rangka konsep Demokrasi boleh dianggap sebagai buta dan naif, kata Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat), Ustaz Ismail Mina.
Beliau mempersoalkan tidakkah golongan liberal ini nampak kegagalan demi kegagalan yang berlaku dalam falsafah demokrasi Barat Amerika.
“Saya nak tanya. Apakah tawaran demokrasi Amerika kepada dunia? Mereka penjarakan manusia tanpa bicara di penjara Guantanamo, mereka culik pejuang Islam.
“Mereka serang kerajaan Afghanistan dan Iraq, mereka bom kilang ubat di Sudan, banyak lagi kejahatan demokrasi Barat. Macam itukah yang liberalis Melayu mahu Malaysia ikut?,” soalnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pemikiran Politik Semasa Malaysia: Isu dan Cabaran Kepada Agenda Islam’ di Universiti Malaya, hari ini.
Beliau berkata, liberalis Melayu yang naif itu sedang berusaha menyuntik racun liberalisme ke dalam pemikiran dan falsafah politik negara
“Mereka lakukan perkara itu melalui parti politik yang dikuasai mereka. Dengan penuh bangga mereka wacanakan konsep demokrasi liberal.
“Demokrasi liberal yang suatu masa dulu pernah ditolak Barat, tetapi sekarang hidup semula bahkan jadi macam konsensus dalam kalangan sebahagian ahli politik Melayu. Peliknya, mereka wacanakannya dengan sungguh-sungguh,” katanya.
Ustaz Ismail Mina juga berkata, tokoh liberalisme Melayu yang aktif dalam politik seringkali menuntut adanya kebebasan dalam beragama.
Tetapi, katanya, mereka tidak sedar demokrasi liberal Barat juga sering mendapat kritikan dan tidak diterima keseluruhannya.
“Sepanjang sejarah pilihan raya Amerika, yang berlaku adalah manipulasi politik kaum illuminati Zionis, bukannya pilihan raya rakyat sejati. Jadi, apakah sebenarnya rupa demokrasi Barat yang liberalis Melayu banggakan?,” katanya.
The post Liberalis Malaysia naif, buta mahu ikut cara Barat appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Liberalis Malaysia naif, buta mahu ikut cara Barat
0 Komentar untuk "Liberalis Malaysia naif, buta mahu ikut cara Barat"