Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 17 Zulhijjah 1438H, Jumaat – Majlis Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) akan memujuk isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor untuk turut serta ‘turun padang’ menjejakkan kaki ke Bangladesh bagi melawat kem pelarian Rohingya.
Perkara itu disuarakan oleh Presiden Mapim sendiri, Mohd Azmi Abdul Hamid sebagai merujuk cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin dalam sesi soal jawab majlis Pelancaran Sinar4Rohingya di sini, hari ini.
“Kita akan pujuk dia (Rosmah Mansor) untuk berhenti sekejap beli-belah dan jom ikut ke Bangladesh,” katanya.
Menerusi cadangan itu, Ahmad Fahmi berkata, langkah itu adalah perlu bagi kepimpinan negara untuk melihat sendiri konflik di wilayah Rakhine dan mencontohi wanita pertama Turki, Emine Erdogan yang kini berada di Bangladesh bagi menyampaikan misi bantuan kemanusiaan.
“Tidak cukup sekadar perdana menteri menyuarakan bantahan dan menyebut ucapan beliau dalam beberapa siri bantahan itu sendiri. Tetapi paling tidak seperti mana yang ditunjukkan oleh Turki sebagai contoh di mana hari ini kita lihat First Lady Turki berada di Bangladesh.
“Maksudnya kita bukan sahaja bercakap tetapi kita buat. Sebab itu Malaysia kalau boleh hantar isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah pergi tengok sendiri ke Myanmar, ke kem pelarian itu sendiri,” kata Ahmad Fahmi.
Dalam perkembangan sama, Mohd Azmi berkata, Mapim juga bercadang untuk menganjurkan perhimpunan sejuta rakyat, solidariti bersama Rohingya.
Beliau bagaimanapun tidak mengulas lanjut berhubung bila dan di mana penganjuran itu diadakan.
“Situasi ketika ini terlalu parah. Ia perlu dihentikan. Seperti mana yang dikatakan oleh Datuk Husamuddin, kita perlu suara yang kuat untuk memberitahu kerajaan.
“Usir warga Bangladesh jika kita tak dibenarkan masuk, dan putuskan hubungan negara dengan Myanmar. Kita perlu nyatakan begitu. Tiada masa untuk berlembut lagi, kita perlu hentikan perkara ini serta-merta,” katanya.
The post Mapim akan pujuk Rosmah ke Bangladesh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mapim akan pujuk Rosmah ke Bangladesh
0 Komentar untuk "Mapim akan pujuk Rosmah ke Bangladesh"