Gema Semua Maklumat

Melayu lebih ramai ikrar derma organ

Melayu lebih ramai ikrar derma organ

KUALA LUMPUR, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, jumlah penderma organ setiap tahun semakin berkurangan.

Katanya, bilangan orang orang yang berikrar menderma organ sehingga 31 Julai tahun ini, hanya seramai 10,487 penderma.

“Sejak 1997 hingga Julai tahun ini, jumlah orang yang berikrar menderma organ di seluruh negara adalah seramai 393,221 orang dan 2015 adalah tahun paling ramai dicatatkan iaitu 51,855 orang.

“Bagaimanapun, jumlahnya menurun sehingga 37,408 orang ataupun 27.86 peratus pada 2016,” katanya kepada China Press.

Bagaimanapun beliau berkata, perangkaan pihaknya menunjukkan sejak kebelakangan ini, semakin ramai kaum Melayu mulai sedar pentingnya pendermaan organ.

“Sebagai bukti, tahun ini kaum Melayu yang berdaftar sebagai penderma organ seramai 3,690 berbanding kaum Cina dan India, masing-masing 2,744 dan 2,345 orang,” katanya.

Mengulas lanjut, Lee Lam Thye berkata, punca utama menyebabkan jumlah penderma organ berkurangan kerana tiada kempen secara besar-besaran, disebabkan kekurangan peruntukan daripada kerajaan.

“Sejak dua tahun kebelakangan ini, akibat tiada peruntukan daripada kerajaan untuk menjalankan kempen secara besar-besaran, kami terpaksa menganjurkan majlis secara kecil-kecilan bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat dan persatuan-persatuan agama bagi meningkatkan kesedaran mengenai pendermaan organ.

“Kebanyakan penduduk bandar, biasanya akan secara sukarela menyahut kempen dengan mendaftar sebagai penderma organ,” katanya.

The post Melayu lebih ramai ikrar derma organ appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Melayu lebih ramai ikrar derma organ
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Melayu lebih ramai ikrar derma organ"

Back To Top