Bangunan Wisma Putra di Putrajaya
KUALA LUMPUR, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Wisma Putra memanggil Duta Myanmar ke Malaysia, U Sein Oo bagi menyuarakan ketidakpuashatian terhadap keganasan yang berlaku kepada etnik Islam Rohingya di wilayah Rakhine.
Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin menyuarakan perkara itu kepada U Sein ketika pertemuan, semalam.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berasingan berkata, Malaysia maklum mengenai kerumitan keadaan di Rakhine dan menggesa Myanmar menangani situasi tersebut termasuk punca masalah itu.
“Jika pergolakan semasa di Rakhine tidak ditangani secara bijak, ia akan menyebabkan lebih ramai etnik Rohingya melarikan diri ke negara jiran termasuk Malaysia.
“Ia juga akan menyaksikan lebih ramai penduduk di Rakhine semakin terdedah untuk direkrut sebagai anggota oleh kumpulan ekstremis. Kedua-dua perkembangan itu berpotensi memberi kesan serius kepada keselamatan dan kestabilan rantau berkenaan,” kata kementerian itu.
Sejak seminggu lalu, rakyat Malaysia melalui pelbagai saluran membuat bantahan secara aman serta menghantar memorandum mengutuk keganasan di negara berkenaan.
Baru-baru ini, Datuk Seri Anifah Aman dalam perbualan telefon dengan Menteri Luar Iran, Mohamad Javad Sharif dan Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu turut membincangkan krisis kemanusiaan membabitkan etnik Rohingya di Myanmar.
Ketiga pemimpin itu bersetuju supaya isu membabitkan etnik Rohingya dibincangkan dalam mesyuarat khas Pertubuhan Kerjasama Islam yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
The post Wisma Putra panggil Duta Myanmar appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Wisma Putra panggil Duta Myanmar
0 Komentar untuk "Wisma Putra panggil Duta Myanmar"