BANGI, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendesak kerajaan untuk menghantar Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sebagai salah satu usaha membantu menangani krisis etnik minoriti Rohingya di wilayah Rakhine.
Menerusi kenyataannya di Twitter, Mukhriz berkata, cadangan itu adalah langkah tindak balas terhadap kekejaman yang dilakukan oleh rejim Myanmar ke atas etnik minoriti Islam itu.
“Saya desak kerajaan Malaysia hantar saja TLDM ke Teluk Bengal. Itu sahaja bahasa yang Myanmar faham. Allah selamatkan #Rohingya.
“Dasar kemanusiaan kita tak boleh dipertahankan jika pembunuhan massa itu berlaku tanpa apa-apa tindak balas. Selamatkan #Rohingya,” katanya di Twitter @MukhrizMahathir.
Beliau berkata, rakyat Malaysia sememangnya cintakan keamanan, namun kezaliman yang berlaku tanpa sekatan rejim yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi ke atas Rohingya tidak sepatutnya dibiarkan.
Hampir 90,000 Rohingya membanjiri sempadan Bangladesh dalam tempoh 10 hari lalu ekoran pertempuran yang meningkat antara pejuang etnik berkenaan dan tentera rejim Myanmar di barat Rakhine.
Etnik minoriti muslim itu terpaksa hidup di bawah sekatan-sekatan sistem pemerintahan ras (apartheid) seperti pergerakan dan kewarganegaraan.
Gelombang kekerasan itu bermula pada Oktober lalu apabila kumpulan pejuang Rohingya menyerang pos keselamatan rejim Myanmar di sempadan.
Kejadian itu menjadikan Rakhine sebagai yang terburuk dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyifatkan rejim Myanmar mungkin cuba melakukan pembersihan etnik (jenayah genosid).
Krisis bertambah buruk lagi apabila Suu Kyi enggan mengulas atau mengambil sebarang tindakan untuk menangani penindasan terhadap Rohingya atau menghukum rejim negara itu.
Suu Kyi adalah penerima Anugerah Nobel Keamanan yang pernah memikat komuniti antarabangsa kerana perjuangannya untuk menegakkan demokrasi.
Dia kini berdepan kritikan hebat antarabangsa, malah sesetengah pihak sedang melihat sama ada Jawatankuasa Nobel, yang memberikan penghormatan kepadanya pada tahun 1991, akan mengkritiknya secara terbuka atau menarik balik penganugerahan itu.
The post Mukhriz desak kerajaan hantar TLDM bantu Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Mukhriz desak kerajaan hantar TLDM bantu Rohingya
0 Komentar untuk "Mukhriz desak kerajaan hantar TLDM bantu Rohingya"