Gema Semua Maklumat

Nor Mohamed, Zeti beri keterangan dalam prosiding RCI

Nor Mohamed, Zeti beri keterangan dalam prosiding RCI

PUTRAJAYA, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Bekas Penasihat Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz hari ini memberi keterangan pada prosiding hari kelima Suruhanjaya Siasatan Diraja Untuk Menyiasat Kes Kerugian Akibat Urus Niaga Mata Wang Asing oleh bank pusat itu pada awal 1990-an.

Nor Mohamed, 70, yang memakai sut hitam, berkata bagi tempoh 1986 hingga 1993, beliau tidak pernah berbincang dengan menteri kewangan dan perdana menteri tentang urus niaga mata wang asing Bank Negara.

“Saya tidak ingat mengenai keuntungan dan kerugian dalam urus niaga forex dari tahun 1986 hingga 1993,” katanya.

Terdahulu, Zeti, 70, yang berbaju kurung biru, memulakan keterangannya dengan berkata pembabitan langsung beliau dalam pengurusan rizab bank berkenaan adalah semasa melakukan tugasan di pejabat di London, apabila US$200 juta diperuntukkan bagi pelaburan bank pusat itu.

Beliau berkata, pada mulanya, pejabat di London tidak menjalankan sebarang tansaksi mata wang asing, bagaimanapun, pejabat di London itu kemudiannya dibenarkan membuat pelaburan dalam instrumen denominasi mata wang lain yang memerlukan urus niaga mata wang asing asing dilakukan.

​​​​​​​”Transaksi mata wang asing itu adalah untuk menyokong aktiviti pelaburan dan bukan untuk mengambil kedudukan ke atas mana-mana mata wang. Selepas dua atau tiga tahun, jumlah yang diperuntukkan kepada pejabat di London dan New York dinaikkan daripada US$200 juta kepada US$500 juta,” katanya.

“Ia kekal pada tahap itu sehingga hari ini. Peranan pejabat di London dan New York tetap sama sehinggalah hari ini. Pejabat di London dan New York juga tidak turut serta dalam aktiviti pengurusan rizab oleh ibu pejabat. Aturan itu berterusan sehingga hari ini,” kata Zeti.

Sebelum, itu bekas Peguam Negara, Tan Sri Ainum Mohd Saaid, 71 memberitahu suruhanjaya itu bahawa Pejabat Peguam Negara tidak menerima sepenuhnya cara BNM mentafsirkan undang-undang berhubung urus niaga mata wang asing.

Beliau berkata, Pejabat Peguam Negara menerima surat bertarikh 9 Februari 1990 daripada BNM untuk perhatian beliau yang ketika itu Ketua Bahagian Penasihat, yang bertajuk “Foreign Exchange Transactions By Bank Negara.

Pengerusi Petroliam Nasional Bhd (Petronas), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, mempengerusikan panel suruhanjaya ima anggota itu.

Anggota lain ialah Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Bhd Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Tan Sri Saw Choo Boon, Ahli Institut Akauntan Malaysia K. Pushpanathan dan Pengarah Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan Datuk Dr Yusof Ismail yang juga Setiausaha suruhanjaya siasatan itu.

Pada 15 Julai tahun ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia berikutan urus niaga matawang asing pada 1990-an selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 [Akta 119].- Bernama

The post Nor Mohamed, Zeti beri keterangan dalam prosiding RCI appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Nor Mohamed, Zeti beri keterangan dalam prosiding RCI
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Nor Mohamed, Zeti beri keterangan dalam prosiding RCI"

Back To Top