Gema Semua Maklumat

Najib bakal ditekan beli senjata AS

Najib bakal ditekan beli senjata AS -

Trump bakal tekan Najib beli senjata AS, kata diplomat veteran

  | September 4, 2017
Bekas duta Malaysia ke Kanada berkata Trump hanya mahu mengimbangi kuasa dan pengaruh AS di rantau Asia Timur.
PETALING JAYA: Seorang diplomat veteran menyifatkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengundang Datuk Seri Najib Razak ke Rumah Putih minggu depan antara lain kerana mahu mengawal “kemesraan ketara” perdana menteri dengan China kebelakangan ini.
Di sebalik dakwaan pihak tertentu undangan itu berkaitan dengan usaha menangani isu Korea Utara dan keganasan, Dennis Ignatius percaya Trump hanya mahu mengimbangi kuasa dan pengaruh AS di rantau Asia Timur dengan memfokus hubungan Malaysia-China pada masa sekarang.
“Alasan sebenar jemputan itu mungkin lebih berkaitan dengan peningkatan hubungan Najib dengan China berbanding apa jua perkara lain,” kata bekas duta Malaysia ke Kanada itu.
Dalam penulisannya, Dennis berkata, tentera AS dan industri ketenteraan negara itu juga dilihat tidak berpuas hati dengan kecenderungan Malaysia yang semakin meningkat ke arah Beijing selain pembelian kelengkapan ketenteraan daripada China.
Menurut beliau, tentera laut AS juga tidak selesa atas prospek roket pelancar buatan China, radar dan kemudahan risikan yang dipasang di Johor, bersebelahan kedudukan sensitif tentera laut mereka di Singapura.
“Ia juga bimbang mengenai peningkatan akses China kepada pangkalan tentera laut Malaysia dan kelemahan Malaysia dalam menyelesaikan (isu) tuntutan maritim membabitkan China di Laut China Selatan,” tambah beliau.
Dennis berkata Washington berharap untuk terus menekan Najib dengan harapan sekurang-kurangnya boleh membentuk hubungan yang lebih seimbang antara AS dan China.
Najib akan mengadakan pertemuan dengan Trump pada 12 September ini di White House.
Pertemuan itu berlaku di sebalik tindakan Jabatan Kehakiman (DoJ) berusaha merampas aset mewah dan harta yang didakwa menggunakan dana yang dicuri daripada syarikat milik kerajaan Malaysia 1MDB yang ditubuhkan Najib.
DoJ sebelum ini memfailkan saman sivil untuk merampas sejumlah aset bernilai AS$1.7 bilion yang menurutnya dibeli menggunakan dana dilarikan daripada 1MDB.
Dennis berpandangan untuk “bertindak” ke atas Najib yang sudah “terlalu banyak berhutang dengan China supaya menarik diri (daripada terlalu mesra)”, Trump, yang memulakan tempoh perkhidmatan sebagai presiden Januari lalu, akan meminta Putrajaya supaya membeli kelengkapan senjata AS, mungkin pesawat pejuang negaranya untuk menggantikan armada jet pejuang Rusia.
Menurutnya, Trump boleh berbangga dapat membantu menyelamatkan pekerjaan rakyat AS serta meminta Malaysia menawarkan AS lebih banyak akses kepada tentera laut, angkatan udara dan kemudahan tenteranya.
Penganalisis politik melihat Najib akan menggunakan lawatan itu sebagai modal politik untuk menghadapi persaingan sengit pada pilihan raya umum ke-14.
Dennis turut mengingatkan Trump tidak menjadikan isu seperti demokrasi, hak asasi manusia dan keadilan suatu keutamaan seperti presiden AS lain.
“Bagi Trump, ia bukanlah untuk menjadikan AS gemilang kembali tetapi menjadikan diri beliau kelihatan hebat,” kata Dennis, yang menambah beliau akan “mencuri” tepukan dan pujian dari mana sahaja walaupun daripada pemimpin berkontroversi seperti Najib.
Undangan Trump kepada Najib disambut baik oleh penyokong beliau sebagai suatu penghormatan kepada Malaysia, tetapi dikritik oleh pemimpin pembangkang.


Najib bakal ditekan beli senjata AS merupakan Entri ulangsiar. Credit kepada sumber asal di Najib bakal ditekan beli senjata AS
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "Najib bakal ditekan beli senjata AS"

Back To Top