Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 6 Muharram 1439H, Rabu – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengalu-alukan kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid untuk meneliti keperluan memberi semula kuasa merotan kepada semua guru di Malaysia.
Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, pihaknya menyambut baik perkara tersebut bagi membantu guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar di sekolah.
Selain itu, katanya, ia juga penting bagi mengurangkan kadar masalah disiplin, salah laku dan jenayah di kalangan pelajar pada masa kini.
“NUTP juga memohon Kementerian Pendidikan Malaysia agar dapat menyediakan prosedur operasi standard (SOP) di mana guru-guru boleh atau dibenarkan mendenda para pelajar yang melakukan kesalahan di sekolah sebagai pengajaran.
“Sebagai contoh, sekiranya pelajar tersebut gagal menyiapkan tugasan yang diberikan, pelajar tersebut boleh diambil tindakan seperti berdiri di hadapan kelas, berlari satu pusingan di padang atau gelanggang sukan, memegang telinga secara silang tangan dan menulis perkataan baik berulang kali,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Pendidikan sedang meneliti untuk memberi semula kuasa merotan kepada semua guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar dan murid.
Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perbincangan lanjut perlu dilakukan kerana terdapat beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan segelintir masyarakat yang mahu guru-guru menggunakan kaedah selain rotan bagi mendidik pelajar.
The post NUTP sambut baik jika kementerian benar guru rotan murid appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di NUTP sambut baik jika kementerian benar guru rotan murid
0 Komentar untuk "NUTP sambut baik jika kementerian benar guru rotan murid"