BANGLADESH, 4 Muharram 1439H,Isnin – Bangladesh mengharamkan semua pelarian Rohingya di negara itu memiliki telefon bimbit.
Perkara itu diumumkan Menteri Muda Telekomunikasi, Tarana Halim sebagai berkata, sekatan komunikasi itu dilakukan kepada minoriti Islam tanpa warganegara berkenaan atas alasan keselamatan.
Beliau berkata, pihaknya sudah mengharamkan penjualan kad sim sesiapa sahaja yang tidak memberikan kad pengenalan rasmi.
Susulan itu, syarikat telekomunikasi negara itu dilarang menjual telefon bimbit kepada pelarian Rohingya.
Empat penyedia telefon bimbit Bangladesh bakal berdepan hukuman denda sekiranya mereka menyediakan pelan telefon kepada mana-mana 430,000 pelarian yang baru tiba dari Myanmar ketika sekatan itu dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, pihak berkuasa telekomunikasi Bangladesh memberitahu, sekatan itu boleh dibatalkan sebaik sahaja kad pengenalan biometrik dikeluarkan kepada pelarian yang baru tiba, yang mengambil masa enam bulan.
Difahamkan ini adalah sekatan terbaru dikenakan ke atas Rohingya yang melarikan diri daripada keganasan di Rakhine, selepas memasuki kem pelarian yang sesak di Cox’s Bazar di Bangladesh sejak empat minggu lalu. – Agensi
0 Komentar untuk "Pelarian Rohingya diharamkan ada telefon bimbit"