Gema Semua Maklumat

Penjualan rokok ‘kiddie pack’, adakah kita menempah bencana?

Penjualan rokok ‘kiddie pack’, adakah kita menempah bencana?

ISU pengenalan rokok pek kecil atau dipanggil ‘kiddie pack’ yang mengandungi 10 batang rokok menjadi perbicaraan akhir-akhir ini. Sesetengah penyokong menjadikan alasan bahawa ia akan membanteras penjualan rokok seludup kerana lebih murah. Seolah-olah menjadi alternatif kepada perokok golongan pertengahan dan bawahan untuk membeli rokok dengan harga lebih murah, sekaligus tidak membeli rokok seludup. Adakah benar begitu? Mari kita teliti tentang isu ini.

Sebenarnya isu ini bukannya isu baru, pengawalan rokok dalam Akta Makanan 1983 telah diimplementasi pada tahun 2004 yang melarang penjualan 7 ke 10 batang rokok. Diikuti pada tahun 2010, pek 14 batang rokok juga diharamkan. Hanya dibenarkan rokok dijual dalam pek 20 batang sahaja sehingga kini. Ini adalah usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengurangkan seterusnya membasmi budaya merokok dalam kalangan masyarakat.

Kos merokok yang tinggi 
———————————-

Semenjak undang-undang rokok diimplementasi dalam undang-undang penjualannya, serba sedikit menjadi beban bagi perokok untuk membeli kerana masalah kos. Bagi perokok tegar, mereka perlu membelanjakan sekitar RM 17 sekotak. Jika setiap hari sekotak selama 30 hari; RM 510 hangus begitu saja. Kalau dua kotak sehari, RM 1020 sebulan! Dan harga itu mungkin akan meningkat lagi kepada RM 21.50 seperti yang dicadangkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Hilmi Bin Haji Yahaya pada bulan Mac tahun ini.

Peningkatan kos adalah salah satu langkah untuk membateras budaya merokok. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2015 mendapati trend merokok dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas adalah 24 peratus berbanding dapatan NHMS 2011 iaitu 24.6 peratus.

‘Kiddie pack’ memudahkan budak sekolah merokok
———————————————————————

Ya, memang benar istilah ‘kiddie pack’ bukanlah merujuk kepada rokok untuk kanak-kanak bawah umur, tapi penjualannya akan memudahkan lagi pelajar sekolah untuk membeli rokok. Apa tidaknya, jika dia membeli sekotak rokok 20 batang, tentulah harganya mahal. Dan kalau disimpan nanti, habislah diketahui oleh ibu bapa atau cikgu. Pek 10 batang itu adalah alternatif terbaik bagi mereka menghabiskan rokok bersama kawan-kawannya sekaligus.

Semakin mudahlah rokok dibeli, kos rendah dan cepat habis. Nanti beli lagi, tiada siapa tahu. Ia juga membuka jalan untuk pelajar sekolah bermula untuk cuba menghisap rokok. Pek yang kecil dan sedikit boleh menjadi ‘starter pack’ atau pek permulaan bagi mereka yang ingin bermula merokok. Kalau dah sesuai nanti baru beli kotak biasa. Lihatlah, ini adalah satu jalan yang akan merosakkan generasi kita.

Maka bertambahlah perokok di Malaysia
——————————————————-
Pengenalan semula rokok pek kecil begini adalah sangat kontra dengan visi negara kita untuk melahirkan masyarakat bermoral yang sihat. Dianggarkan sebanyak 20,000 rakyat Malaysia mati setiap tahun kerana penyakit yang berkait dengan rokok. Sakit jantung, strok, semput, kanser paru-paru dan lain-lain. Lebih menyedihkan lagi, antara kalangan mereka adalah perokok pasif (orang yang hidup bersama perokok, namun dia sendiri tidak merokok).

Setakat ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak meluluskan penjualan rokok pek kecil ini, malah Menteri Kesihatan; Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata bahawa kerajaan tidak akan meluluskannya, dan menegaskan bahawa undang-undang penjualan rokok tertakluk kepada kerajaan semata-mata dan semua perlu patuh. Presiden Majlis Perubatan Malaysia, Dr Ravindran Naidu pula membantah penjualan ‘kiddie pack’. Namun begitu, beberapa pihak yang berkepentingan terus menggesa kerajaan untuk mengubah akta penjualan rokok ini, bagi membenarkan ‘kiddie pack’ dijual pasaran.

Bagi kami, para doktor yang bertugas di hospital, soalan “Adakah encik/puan merokok?” adalah satu kewajipan untuk kami tanyakan. Kerana ia akan membantu dalam kami memberi diagnosis penyakit, serta prognosis penyakit juga. Contohnya, jika anda mempunyai sakit jantung atau pernah mengalami strok kecil, tapi masih aktif merokok, kami semua akan menggeleng kepala kecewa dan sedih kerana tahu bahawa sakit itu pasti akan datang kembali. Jika anda patah tulang, dan masih merokok, kebarangkalian untuk sembuh dengan baik sangat tipis. Malah akan datang komplikasi jangkitan bakteria dan tulang tidak bercantum.

Merokok adalah satu budaya jijik yang merosakkan diri, keluarga dan masyarakat. Bahkan ia sebenarnya adalah satu penyakit ketagihan kronik. Ia perlu dibanteras sehabisnya, dengan segala jalan yang kita boleh lakukan. Tapi perlu berhemah, kerana ketagihan kepada nikotin bukan mudah dirawat. Malah KKM menawarkan program berhenti merokok di setiap klinik di Malaysia. Banyak usaha telah dibuat untuk membanteras budaya merokok, dan jika rokok ‘kiddie pack’ ini dijual, samalah seperti kita menyimbah minyak petrol ketika kebakaran berlaku. Janganlah kita menempah bencana.

Dr Muhammad Hazim Bin Mohd Azhar
Ahli I-Medik Negeri Sembilan

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Penjualan rokok ‘kiddie pack’, adakah kita menempah bencana? appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Penjualan rokok ‘kiddie pack’, adakah kita menempah bencana?
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Penjualan rokok ‘kiddie pack’, adakah kita menempah bencana?"

Back To Top