Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 16 Zulhijjah 1438H, Khamis – Berbaki seminggu lagi menjelang kejohanan Piala Presiden Isma 2017, skuad Perak kekal fokus untuk menjadi salah satu pasukan menyerlah pada tahun ini, sekaligus merampas gelaran juara yang dimiliki oleh Selangor tahun lalu.
Pengurus pasukannya, Muhamad Amirul Azmi berkata, skuad yang digelar Seladang Perak ini juga lebih menumpukan kepada sistem latihan untuk meningkatkan kualiti pemain mencapai tahap profesional.
Katanya, keseimbangan aspek keserasian antara pemain, jurulatih dan juga pengurusan pasukan menjadi kunci utama yang akan membawa skuad kendaliannya itu menyerlah pada kejohanan kali ini.
“Kita menggabungkan pemain kita terdahulu dan juga pemain baharu yang dipilih pada tahun ini, selain mengekalkan jurulatih sama seperti sebelum ini.
“Saya yakin, semangat pemain kita yang rata-ratanya berusia antara 17 hingga 23 tahun ini dapat memberikan saingan terbaik kepada pasukan lain,” katanya kepada Ismaweb, hari ini.
Beliau akui tahap suku akhir skuad Perak tahun lalu, menjadi suntikan kepada pasukan itu untuk melangkah lebih lagi selain menyasarkan gelaran juara.
“Tiada yang mustahil untuk Seladang Perak. Kita sekarang ini berada di fasa di mana menfokuskan untuk stamina dan kecergasan pemain, termasuk taktikal permainan nanti.
“Saya yakin, kebanyakan pasukan sudah bangkit tahun ini untuk lebih menonjol dan keluar dari zon sebagai ‘underdog’.
“Kejohanan tahun lalu adalah sumber rujukan kita untuk melihat corak permainan serta strategi setiap pasukan,” katanya.
Sebanyak enam belas pasukan bakal berentap pada kejohanan kali ini yang mewakili negeri masing-masing termasuk pasukan jemputan, Azzahrah FC dan Pejuang FC, yang akan diadakan di Stadium Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
The post Piala Presiden Isma 2017: Seladang Perak mahu tonjol aksi terbaik pemain appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Piala Presiden Isma 2017: Seladang Perak mahu tonjol aksi terbaik pemain
0 Komentar untuk "Piala Presiden Isma 2017: Seladang Perak mahu tonjol aksi terbaik pemain"