BANGI, 16 Zulhijjah 1438H, Khamis – Tingkap masih terbuka, walaupun pintu sudah tertutup buat PAS untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Sambil menyatakan bahawa tiada yang mustahil dalam politik, Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin mencadangkan PAS negeri mengadakan kerjasama dengan PKR atau Bersatu bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada PRU14 nanti.
“Sampai hari ini pun masih ada sisa-sisa harapan bahawa PAS boleh dibawa berunding. Pintu rundingan mungkin sudah tertutup tetapi, seperti kata sesetengah pemimpin PH, tingkap masih terbuka.
“Dalam politik tidak ada istilah mustahil. Misalnya, PAS boleh berpecah mengikut negeri dan menjalin kerjasama dengan PKR atau PPBM,” katanya menulis dalam blog beliau.
Bagaimanapun beliau yakin banyak pihak yang cuba memahami apa sebenarnya yang berlegar di dalam benak kepimpinan PAS kini yang didominasi oleh golongan agama.
Kadir yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu berkata, beliau sudah mengenali PAS sejak tahun 1960-an, tetapi rumit untuk memahami tindak-tanduk agamawan parti itu, berbanding golongan bukan agama yang disingkir pada pemilihan pucuk pimpinan 2015.
“Mungkin saya terlalu jahil untuk memahami roh suci agamawan PAS maka saya keliru dengan usik-mengusik dan cinta berahi yang semakin semerbak di antara ketua-ketua PAS dengan para pembesar Umno/Barisan Nasional.
“Saya faham tindakan agamawan PAS menggunakan ortodoksi dan retorik agama untuk menyingkirkan golongan profesional. Mereka berasa terancam oleh kecanggihan golongan ini dan peningkatan pengaruh mereka di kalangan ahli dan penyokong parti,” katanya.
Beliau berkata, kepimpinan UMNO, terutama Presidennya Datuk Seri Najib Razak mengambil kesempatan menangguk di air keruh berikutan kekacauan dalam PAS.
Kadir berkata, dasar dan pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Najib adalah sama, malah kedua-duanya telah menyingkirkan pihak yang tidak sebulu dengan mereka, menjadikan parti untuk yang setiap dan dengar kata sahaja.
“Kedua-dua mereka memimpin parti yang pecah dan menghadapi pencabar baru yang tahu kelemahan mereka. PAS ditentang oleh Amanah dan Umno oleh PPBM.
“PAS lega Umno berpecah dan Umno lega PAS berpecah. PAS yakin Umno lemah dan Umno yakin PAS lemah. Atas dasar itu, mereka yakin mereka kini boleh bekerjasama.
“Umno tidak pernah mahu PAS berkembang dan menjadi kuat. Tanpa golongan profesional, sumber idea dan kewangan PAS kering. PAS terpaksa kembali mengemis sedekah dan derma,” katanya.
Katanya, bagi Najib yang mengamalkan dasar ‘wang adalah raja’, masalah kewangan PAS ibarat orang mengantuk disorongkan bantal.
“Umno masih banyak duit – duit parti dan duit negara. Tidak hairanlah kalau cinta berahi Mohd Najib-Abdul Hadi mekar umpama bunga lepas kemarau – sama bau dan sama warna.
“Itulah sebabnya amat sukar bagi PKR dan PPBM membawa PAS ke meja perundingan walaupun ada pemimpin PAS yang menolak kemungkaran Umno/BN dan tahu kerjasama dengan parti Mohd Najib itu akan membawa kemudaratan kepada PAS,” katanya.
Kadir yang juga bekas Ketua Pengarang New Straits Times berkata, PAS memerlukan duit dan tidak ada orang yang lebih berduit daripada Najib.
“Jadi hendak tak hendak, sama ada duit Mohd Najib itu haram, halal, sunat atau makruh, Abdul Hadi terpaksa menimbangkannya.
“Kalau pada pendapat beliau, tidak ada empat orang saksi alim dan suci yang mengeluarkan fatwa mengatakan duit Mohd Najib itu haram, maka bolehlah PAS menerimanya kalau mahu,” katanya.
The post ‘Pintu tertutup tapi tingkap masih terbuka buat PAS’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di ‘Pintu tertutup tapi tingkap masih terbuka buat PAS’
0 Komentar untuk "‘Pintu tertutup tapi tingkap masih terbuka buat PAS’"