Gema Semua Maklumat

PRU14: Pengundi muda Islam cari jalan keluar kebahagiaan dunia, akhirat

PRU14: Pengundi muda Islam cari jalan keluar kebahagiaan dunia, akhirat

 

BANGI, 13 Zulhijjah 1438H, Isnin – Ketidakseimbangan antara pendapatan dan hutang menyebabkan majoriti pengundi muda Islam beralih kepada agenda pengisian Islam, sebagai jalan keluar mencari kebahagiaan dunia dan akhirat.

Keadaan ini adalah antara faktor yang akan mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), sekali gus mencetuskan kebangkitan tsunami politik Islam’, kata Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, UiTM Kelantan, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah.

Katanya, kebangkitan politik Islam juga akan berlaku akibat penambahan pengundi Islam antara lima hingga sepuluh peratus di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), diikuti penurunan penurunan pengundi bukan Islam antara tiga hingga lapan peratus.

Bagaimanapun, katanya, pertambahan nisbah pengundi Islam tidak bermakna apa-apa jika mereka tidak membabitkan diri dalam pengundian pada PRU14 nanti.

“Penentuan kemenangan bergantung kepada pengundi bukan Islam jika faktor peratusan kehadiran pengundian daripada pengundi Islam yang tidak hadir tinggi,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

Selain itu, katanya, pelbagai gejala sosial termasuk membabitkan rasuah dan jenayah yang semakin menular menyebabkan umat Islam terpanggil untuk melaksanakan tanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan mereka.

“Ini menyebabkan masyarakat Islam semakin dekat dengan agenda pengisian Islam sebagai satu jalan keluar dalam menangani gejala sosial tersebut. Mahu tidak mahu kesedaran agenda pengisian Islam semakin menyerlah. Ini menyebabkan kebertanggungjawaban untuk memilih pemimpin Islam yang amanah, adil dan berintegriti,” katanya.

Dr Iskandar Hasan juga berkata, gelombang kedua politik Islam semakin nyata apabila PKR dengan sendiri mengadakan mesyuarat rahsia dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Mesyuarat tersebut lebih ke arah pertandingan satu lawan satu dalam PRU14 tanpa ada blok ketiga. Ini disebabkan beberapa faktor.

“Antaranya, dalam PRU14 nanti akan menyaksikan sebahagian besar pemimpin-pemimpin yang bertanding pemilihan ketua kerajaan dalam sistem demokrasi Malaysia adalah terdiri daripada beberapa tokoh pemimpin veteran politik dikenali umum.

“Pemimpin-pemimpin tersebut sebahagian besarnya adalah pemimpin Melayu Islam. Ini menjurus kepada pengundi-pengundi yang sebahagian besar adalah Melayu Islam yang merangkumi 70 peratus keseluruhan pengundi di Malaysia membuat keputusan dalam pemilihan ketua kerajaan PRU14 nanti,” katanya.

The post PRU14: Pengundi muda Islam cari jalan keluar kebahagiaan dunia, akhirat appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PRU14: Pengundi muda Islam cari jalan keluar kebahagiaan dunia, akhirat
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "PRU14: Pengundi muda Islam cari jalan keluar kebahagiaan dunia, akhirat"

Back To Top