Gema Semua Maklumat

Rejim el-Sisi lakukan penyeksaan sistematik terhadap rakyat Mesir, lapor HRW

Rejim el-Sisi lakukan penyeksaan sistematik terhadap rakyat Mesir, lapor HRW

KAHERAH, 15 Zulhijjah 1438H, Rabu – Rejim Mesir gagal mematuhi undang-undang hak asasi manusia antarabangsa apabila melakukan penangkapan sewenang-wenangnya secara meluas, ‘menghilangkan’ mereka yang ditangkap dan melakukan penyeksaan sejak 2013.

Pemantau Hak Asasi Manusia (HRW) dalam laporan terbaharunya berkata, pasukan keselamatan Mesir melakukan penyeksaan secara sistematik terhadap suspek yang disyaki menjadi penentang kerajaan.

“Pemantau Hak Asasi Manusia percaya penyeksaan berleluasa di Mesir merupakan jenayah terhadap kemanusiaan,” kata HRW dalam laporan setebal 63 muka surat.

Sehubungan itu, HRW mendesak kerajaan Mesir dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendakwa pegawai keselamatan negara itu di mahkamah atas tuduhan melakukan penyeksaan.

HRW berkata, kegagalan mengambil tindakan terhadap pegawai keselamatan yang melakukan penyeksaan menyebabkan perbuatan itu berleluasa sejak Abdel Fattah el-Sisi dipilih sebagai Presiden pada 2014.

HRW juga menemubual 19 bekas tahanan dan keluarga mereka yang diseksa antara 2014 dan 2016.

Laporan juga menyebut bahawa polis dan pegawai agensi keselamatan kebangsaan Mesir biasanya menyeksa tahanan ketika melakukan siasatan, bagi memaksa mereka membuat pengakuan, mendapatkan maklumat atau menghukum mereka.

Dalam kebanyakan kes, pegawai keselamatan menghentikan penyeksaan apabila mereka memperoleh pengakuan atau nama rakan suspek atau kenalan mereka, kata HRW.

Pada Julai 2013, pihak tentera yang diketuai el-Sisi, menggulingkan Presiden Mohamed Morsi – pemimpin Ikhwanul Muslimin – yang dipilih secara demokrasi, berikutan tunjuk perasaan besar-besaran untuk menyingkirkannya.

Sejak itu, beribu-ribu anggota pergerakan Ikhwanul Muslimin, penyokong dan pensimpati mereka menjadi sasaran penangkapan, penyeksaan dan perbicaraan.

Penyokong hak asasi manusia berulang kali mendakwa berlaku penyalahgunaan kuasa secara meluas di Mesir, termasuk tangkapan yang dilakukan sewenang-wenangnya.

Bagaimanapun, kerajaan rejim el-Sisi mendakwa ianya adalah kes terpencil.

“Kami menggesa PBB menjalankan siasatan dan jika munasabah, mengambil tindakan mendakwa pegawai keselamatan yang dituduh melakukan penyeksaan,” kata laporan itu. – Agensi

The post Rejim el-Sisi lakukan penyeksaan sistematik terhadap rakyat Mesir, lapor HRW appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Rejim el-Sisi lakukan penyeksaan sistematik terhadap rakyat Mesir, lapor HRW
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Rejim el-Sisi lakukan penyeksaan sistematik terhadap rakyat Mesir, lapor HRW"

Back To Top