Gema Semua Maklumat

Undi PAS sama seperti undi BN, kata Tun M

Undi PAS sama seperti undi BN, kata Tun M

BANGI, 20 Zulhijjah 1438H, Isnin – PAS tidak mengutamakan usaha untuk menyingkirkan kerajaan kleptokratik Datuk Seri Najib Razak, sebaliknya mempertahankan prinsip memerangi DAP dan parti serpihannya PAN, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau meletakkan kesalahan kepada PAS jika berlaku pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti yang akan berpihak kepada Najib dan Barisan Nasional (BN).

Katanya, sejak ditubuh, PAS tidak pernah menguasai Parlimen untuk membentuk kerajaan, terutama ketika bertanding sendirian, malah adakala parti itu hanya menang satu kerusi sahaja – yang terbanyak ialah 11 kerusi – dan PAS hanya dapat berada dalam Kerajaan Pusat apabila ia menyertai BN.

Bekas Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun yang mengetepikan PAS dalam lima PRU itu berkata, hakikatnya ialah hanya apabila PAS bergabung bersama parti lain, terutama dengan DAP yang disebut oleh PAS sebagai ‘tahaluf siyasi’ baharulah parti itu menang 24 kerusi dan 27 kerusi.

“Dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi oleh PAS, peranannya hanyalah sebagai pengacau iaitu pemecah undi pembangkang. PAS sendiri akan kalah dalam kebanyakan kawasan yang ditandingi dan kekal berada dalam barisan pembangkang. Tidak ada satu pun dari perjuangannya yang didakwa untuk Islam yang dapat dicapai olehnya sejak ia ditubuh.

“Apabila dijemput untuk menyertai gabungan parti-parti yang menentang Najib dalam PRU 14, PAS meletak syarat yang tetap akan memecah dan mengurangkan undi bagi Pakatan Harapan. Syarat PAS sebenarnya akan memberi kemenangan kepada BN,” katanya menulis dalam blog beliau, hari ini.

Tun Dr Mahathir berkata, PAS menyedari kemenangannya di Pantai Barat pada PRU12 dan 13 disebabkan sokongan oleh DAP dan kaum Cina, dan parti itu juga tahu bahawa mereka akan kalah jika bertanding dua penjuru melawan BN di Pantai Barat dan PRU14.

“Yang jelas ialah jika PAS bertanding dalam PRU 14 berlawan dengan BN dan Pakatan Harapan maka undi orang Melayu akan terbahagi tiga. Dalam keadaan ini undi bagi PAS, walau pun kecil tetapi berkesan mengurangkan undi kepada P.H, sehingga kemenangan tetap akan diperolehi oleh Dato Sri Najib dan BN.

“Dengan perkataan lain dalam pertandingan tiga penjuru yang disebabkan oleh PAS meletak calon yang akan menang ialah Barisan Nasional pimpinan kleptokrat Najib, bukan PAS,” katanya.

“PAS mendakwa akan bertanding di semua 60 kawasan yang PAS bertanding dalam PRU 13, sama ada PAS menang atau kalah. Dengan itu besar kemungkinan PAS akan kalah lebih banyak dari PRU 13. Dalam PRU 14 PAS akan bertanding tiga penjuru dan undi DAP, Cina dan India tidak akan diperolehi oleh calon PAS,” katanya.

Beliau berkata, pertembungan tiga penjuru di antara PAS, BN dan Pakatan Harapan akan mengecilkan undi orang Melayu, yang bakal memberi kesan kepada pembangkang serta peluang untuk Najib mengekalkan kuasanya sebagai Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir berkata, mengundi PAS sama seperti memilih BN dan mendukung perbuatan jenayah, rasuah serta amalan mencuri yang diamalkan oleh pimpinan Najib.

The post Undi PAS sama seperti undi BN, kata Tun M appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Undi PAS sama seperti undi BN, kata Tun M
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Undi PAS sama seperti undi BN, kata Tun M"

Back To Top