KUALA LUMPUR, 8 Safar 1439H, Sabtu – Polis telah mengenal pasti sebahagian besar dalang sindiket perjudian di negara ini dan sedang mengumpulkan keterangan ke atas mereka bagi membolehkan mereka didakwa di mahkamah.
Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata setakat ini lebih 10 individu dikenal pasti di ibu negara, Selangor dan beberapa tempat lain.
“Kami telah mengarahkan ketua-ketua kontinjen untuk mengenal pasti bukan pekerja-pekerja di premis judi tetapi mereka yang terlibat secara tidak langsung iaitu ‘the man behind the scene’,” katanya.
Noor Rashid berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Festival Kesenian Piala Ketua Polis Negara di sini hari ini.
Beliau berkata polis sedang mengumpulkan keterangan yang ada bagi membolehkan dalang-dalang yang dikenal pasti diambil tindakan di bawah peruntukkan undang-undang sedia ada.
“Kami telah merancang tiga fasa dalam usaha memerangi perjudian ini iaitu memastikan semua premis perjudian ditutup, mengenal pasti dalang serta mengumpulkan keterangan untuk diambil tindakan.
“Sekiranya gagal, kita mempunyai alternatif lain untuk ambil tindakan pencegahan yang ada seperti Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA),” katanya.
Dalam pada itu, Noor Rashid berkata setiap serbuan yang dilakukan ke atas premis judi perlu disertai pegawai polis yang mahir dalam bidang siber selain pegawai yang mempunyai kepakaran mengenai perjudian dan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7).
Ini kerana katanya, banyak premis judi yang menganjurkan perjudian secara atas talian yang perlu dikenal pasti dan diambil tindakan.
“Kalau ada ketiga-tiga kepakaran ini semasa serbuan, saya rasa tindakan kita akan berjaya dari aspek siasatan dan pendakwaan, jadi di peringkat pertama ini kita akan terus mengenal pasti dahulu premis judi yang terbuka,” katanya.
Pada 19 Oktober lepas, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan dilaporkan berkata kegiatan perjudian haram dan semua aktiviti tidak bermoral di negara ini didakwa didalangi oleh sembilan ketua digelar ‘dragon’ selain mengutip hasil RM5 bilion sebulan. – Bernama
The post 9 Dragon: Dalang sindiket judi dikenal pasti, kata polis appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 9 Dragon: Dalang sindiket judi dikenal pasti, kata polis
0 Komentar untuk "9 Dragon: Dalang sindiket judi dikenal pasti, kata polis"