Gema Semua Maklumat

Ampun Tuanku. Realiti Bahasa Melayu sekolah Cina

Ampun Tuanku. Realiti Bahasa Melayu sekolah Cina


AMPUN Tuanku! Sultan Perak Sultan Nazrin Shah. Patik amat menjunjung kasih di atas titah ucapan Tuanku mengenai kewajipan sekolah Cina bagi memastikan murid-murid Cina dapat menguasai Bahasa Melayu (BM) dengan baik sehingga fasih, dan dapat mengatasi Sekolah Kebangsaan.

Titah ucapan Tuanku dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Sam Tet 2017 baru-baru ini, telah lama patik nanti-nantikan.

Patik telah lama menitipkan tinta sebegini, tetapi menimbulkan kemarahan orang Cina. Patik dilabelkan sebagai lebih Melayu daripada Melayu, sedang hasrat patik begitu suci, untuk memastikan pembinaan perpaduan sebuah negara bangsa menjadi idaman kita semua.

Sebelum ini, Perdana Menteri turut mengingatkan pemimpin Cina seperti MCA dan NGO Cina, memastikan penguasaan BM di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) ditingkatkan bagi memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat negara ini. Perkara ini penting kerana BM adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dan seharusnya dikuasai semua individu tanpa mengira latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

Ampun Tuanku! Sesungguhnya selaku anak Perak, patik sangat berbangga bersultankan Tuanku, seorang raja yang tinggi ilmunya, sangat prihatin dan merasai denyut nadi rakyat dalam mensejahterakan negara tercinta ini. Izinkan patik yang hina ini menyorot sedikit titah Tuanku mengenai realiti kedudukan BM di SJKC yang ada pada hari ini.

Kedudukan BM di SJKC ibarat melukut di tepi gantang, meskipun BM adalah bahasa kebangsaan atau bahasa negara. Subjek BM hanya diajar selama 240 minit (4 jam) seminggu berbanding 180 minit (3 jam) seminggu sebelum ini. Itupun setelah mendapat tekanan daripada Kementerian Pendidikan.

Jika boleh mereka mahu terus kekalkan 180 minit sahaja atau kurang daripada itu. Pernah diusulkan oleh Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan lagi daripada 240 minit kepada 270 minit, tetapi mendapat tentangan hebat daripada pemimpin-pemimpin mereka.

Akhirnya, Kementerian Pendidikan terpaksa akur. Kononnya, jika terlalu mendesak, mungkin orang Cina tidak mengundi Barisan Nasional (BN). Hakikatnya, memang mereka tidak mengundi BN meskipun kerajaan telah bertolak ansur.

Alasan mereka sangat mudah, jika ditambah masa BM di SJKC, ini akan menjejaskan prestasi penguasaan Bahasa Cina. Penambahan masa BM akan mengambil masa subjek lain yang diajar sepenuhnya dalam bahasa Cina. Situasi ini akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina akan tergugat. Pendek kata, mereka tidak mahu pelajar Cina tidak dapat menguasai bahasa Cina sepenuhnya atau tidak menjadi secina-cinanya atau menjadi ‘Cina pisang’.

Ketika subjek Sejarah diperkenalkan di semua sekolah rendah, Kementerian Pendidikan mewajibkan subjek ini diajar dalam BM, termasuk di SJKC, tetapi mendapat tentangan yang sangat hebat daripada pemimpin Cina. Akhirnya, sekali lagi kerajaan akur. Subjek sejarah negara diajar dalam bahasa ibunda.

Apakah tindakan ini wajar? Inilah hakikat sebenar yang berlaku di sekolah Cina. Proses ‘pencairan’ kecinaan tidak akan dibenarkan sama sekali.

Ampun Tuanku! Untuk makluman Tuanku, kegagalan Sekolah Wawasan yang menggabung tiga buah sekolah (SK, SJKC, SJKT) dengan berkongsi kemudahan yang sama, juga atas alasan yang sama. Kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit membina beberapa buah Sekolah Wawasan dengan harapan yang amat murni agar perpaduan menjadi realiti. Malang sekali, idea Sekolah Wawasan yang sangat murni ini telah terkubur.

Ia tidak mendapat sambutan daripada orang Cina. Atas alasan, jika terlalu bercampur gaul dan berinteraksi dengan pelajar Melayu dan menggunakan BM, mereka akan gagal menguasai bahasa Cina. Mereka akan menjadi ‘Cina pisang’, tidak menjadi secina-cinanya. Mereka mahukan persekitaran yang sepenuhnya Cina. BM yang diajar selama 240 minit seminggu adalah sebagai syarat sahaja. Kalau boleh, mereka tidak mahu ajar pun subjek BM ini. Semuanya mesti Cina.

Sebab itu, mereka mensyaratkan semua guru-guru bukan Cina yang ingin mengajar BM dan Bahasa Inggeris di SJKC, mesti mempunyai kredit dalam bahasa Cina di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Mereka tidak menerima guru-guru bukan Cina yang tidak ada latar belakang Cina. Tidakkah tindakan ini merupakan pembinaan negara dalam negara?

Ampun Tuanku! Cuba Tuanku renungkan, bolehkah anak-anak Cina ini menguasai BM dengan baik jika BM hanya diajar 240 minit seminggu? Selepas selesai 240 minit, tidak ada kedengaran lagi BM. Semua aktiviti, perbualan dan pengumuman dibuat dalam bahasa Cina.

Lebih menyedihkan di luar kelas, mereka langsung tidak bercampur dengan orang Melayu. Kehidupan mereka di luar sekolah dan balik ke rumah adalah, membaca akhbar dan majalah Cina, menonton dan mendengar televisyen dan radio saluran Cina.

Pendek kata proses sosialisasi pencinaan berlaku hampir 100 peratus. Bolehkah mereka menguasai BM dengan baik, berbanding SK. Pepatah Melayu ada menyebut alah bisa tegal biasa. Dalam maksud, jika sesuatu perkara itu tidak dibiasakan bagaimana mungkin kita dapat menguasai dan mempelajarinya.

Pernah pada tahun 2010 apabila bancian penduduk dibuat, pegawai-pegawai banci telah datang membuat bancian rumah ke rumah. Sangat mengejutkan, ramai rakyat Malaysia berketurunan Cina yang tidak boleh membaca, menulis dan berkomunikasi dalam BM.

Pegawai banci terpaksa membawa penterjemah bahasa Cina untuk memahamkan mereka. Inilah realiti yang ada, disebabkan oleh proses pencinaan di SJKC. Mereka membina negara dalam negara. Bancian akan dibuat semula setiap 10 tahun. Kita akan lihat apakah pada tahun 2020, kedudukan BM mereka akan menjadi bertambah baik. Sama-sama kita lihat keputusan bancian tersebut.

Sesungguhnya Tuanku, sebahagian kaum Cina tidak melihat BM sebagai bahasa yang penting. Mereka lebih mementingkan bahasa ibunda dan bahasa Inggeris daripada BM. BM tidak ada nilai komersial. Perpaduan melalui bahasa (BM) kepada mereka bukanlah isu pokok.

Mereka kerap menyalahkan UMNO dan Pas yang menjadi punca masalah perkauman dan penghalang perpaduan, bukannya institusi pendidikan Cina. Penguasaan BM bukanlah asas perpaduan. Perosak perpaduan kepada mereka adalah dasar kemelayuan dan korupsi yang dilakukan oleh UMNO. Tidak ketinggalan Pas dengan prinsip keislamannya. Mereka langsung tidak bersalah.

Untuk memastikan agenda negara dapat dilaksanakan seperti titah ucapan Tuanku, caranya tidak ada lain. Patik cadangkan, Kementerian Pendidikan bertegas dalam melaksanakan agenda negara dan bahasa negara ini.

Pertamanya, wajibkan semua sekolah Cina mendaulatkan BM. Bermula dengan fizikal sekolah itu. Ini termasuk menulis nama sekolah tersebut dalam BM, diikuti bahasa lain. Boleh dikatakan semua SJKC mendahulukan bahasa dan tulisan Cina ke atas imej fizikal sekolah. Begitu notis, kenyataan dan pengumuman dibuat dalam bahasa Cina. Sudah sampai masanya penggunaan BM diperluaskan supaya pelajar tersebut merasai mereka berada di Malaysia, bukan di negara China.

Tidak mengapalah menjadi ‘Cina pisang’ sebab mereka berada di Malaysia bukan di negara China. Tidak pandai sepenuhnya itu wajar, sebab kita berada di negara yang mendaulatkan BM bukan bahasa Cina.

Kedua, penambahan masa BM mesti dilakukan segera tanpa rasa takut dengan ugutan dan tentangan oleh NGO-NGO Cina berkaitan pendidikan Cina seperti Hua Zong, Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.

Patik cadangkan daripada 240 minit seminggu ditambahkan sekali ganda menjadi 480 minit (8 jam) seminggu. Jika orang Cina tidak boleh berkomunikasi dengan baik dalam BM bagaimana mereka boleh berinteraksi dengan orang Melayu yang hanya tahu BM dan sedikit Bahasa Inggeris.

Ketiga, silibus BM di SJKC mestilah menggunakan standard silibus BM di SK. Realiti yang ada hari ini, silibus BM di SJKC lebih mudah atau lebih senang berbanding SK. Begitu juga di sekolah menengah dan persendirian Cina. Adakah wajar dipermudahkan silibus BM kepada pelajar Cina, itupun tidak dapat dikuasai, sedangkan pelajar Melayu di SK disusahkan silibus menguasai BM.

Tidakkah sepatutnya berlaku sebaliknya. Pelajar Cina disusahkan untuk mempelajari BM, manakala pelajar Melayu disenangkan sedikit sebab ini bahasa mereka. Tidak mengapalah bersusah sedikit demi negara.

Alasan NGO pendidikan Cina jika disusahkan pelajar Cina dengan silibus BM yang sama standard dengan SK, ia akan menyebabkan mereka terpaksa memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada BM. Akibatnya, masa mereka akan lebih banyak ‘terbuang’ kerana terpaksa menumpukan BM.

Hal ini sudah tentu ini akan menyusahkan mereka. Penumpuan yang lebih kepada BM akan menyebabkan penguasaan bahasa Cina mereka terjejas. Ringkasnya, penguasaan bahasa Cina mesti lebih baik daripada BM dan tidak boleh berlaku sebaliknya meskipun BM adalah bahasa negara.

Jangan pergi jauh, lihatlah wakil rakyat mereka berucap di DUN dan Parlimen. Jika ibu bapa merekapun tidak boleh menguasai BM dengan baik bagaimana mengharapkan anak-anak mereka dapat menguasainya.

Keempat, contohi negara jiran kita, Thailand dan Indonesia dalam memartabatkan dan mendaulatkan bahasa negara mereka walaupun tidak sepenuhnya. Bahasa negara mereka begitu diperkasakan sehingga lahirkan rakyat yang begitu kuat jati diri dan mantap perpaduannya.

Boleh dikatakan dalam semua perkara, bahasa negara diutamakan. Ini termasuk semua notis dan media arus perdana wajib menggunakan bahasa negara. Media cetak dan media elektronik diwajibkan menggunakan bahasa negara sepenuhnya termasuk mengalihbahasakan semua rancangan luar yang masuk.

Jangan terkejut apabila menonton filem Inggeris, Cina, Hindi dan lain-lain di Thailand dan Indonesia, semuanya dialihbahasakan mengikut bahasa negara masing-masing. Negara-negara ini tidak juga mundur. Mereka terus bergerak maju ke hadapan seiring zaman. Terus terang patik katakan, jati diri Siam telah berjaya mengangkat tinggi bangsa Siam dan membangunkan Thailand. Thailand lebih membangun daripada kita.

Mungkin ada yang sinis membuat perbandingan mengatakan, kenapa negara Indonesia yang kuat jati dirinya melaksanakan agenda negara tetapi masih ketinggalan? Perbandingan dengan Indonesia dengan Malaysia ibarat langit dengan bumi. Indonesia mempunyai lebih 13,000 buah pulau dengan populasi 250 juta.

Berbanding Malaysia, pulau-pulau boleh dikira dengan jari dan rakyat hanya ada sekitar 30 juta. Jika Malaysia lebih ke hadapan sedikit daripada Indonesia, itu perkara biasa. Patik amat yakin, dengan attitude dan aptitude rakyat Indonesia yang ada pada hari ini, tidak mustahil Indonesia akan meninggalkan Malaysia suatu hari nanti. Kerana jati diri mereka sangat kental dan semangat keindonesiaan begitu bersemarak untuk bersama hidup mati bersama Indonesia.

Ambillah iktibar pupusnya jawi yang menjadi identiti Melayu. Kenapa ia pupus? Kerana ia tidak digunakan. Tidak ada perancangan yang strategik untuk memartabatkan jawi. Akhirnya, jawi telah menjadi muzium.

Kelima, SJKC atau institusi pendidikan Cina mesti berlapang dada dalam menerima pandangan dan saranan pakar-pakar bahasa dan linguistik BM untuk memandaikan orang Cina dalam BM. Sudah sampai masanya kerajaan tidak tunduk kepada pandangan NGO Cina yang terlampau kecinaan. Kita mesti serius dalam pembinaan negara bangsa. Bukannya membina negara dalam negara.

Ampun Tuanku, banyak lagi cadangan untuk dikemukakan. Cukuplah sekadar ini dahulu. Patik memohon perkenan Tuanku untuk memberikan sedikit ‘grant’ kepada patik untuk mengkaji secara menyeluruh mengenai perlaksanaan BM di SJKC dan sekolah menengah dan cara untuk memandaikan mereka dalam BM.

Ini termasuk Pengajaran dan Pembelajaran BM di SJKC. Bilangan yang boleh menulis, membaca, memahami dan berkomunikasi dalam BM. Patik telah beberapa kali memohon ‘grant’ kepada pihak berkenaan, tetapi tidak pernah diluluskan. Mungkin kepada mereka yang berkuasa merasakan kajian ini tidak penting. Tetapi patik yakin Tuanku sangat prihatin dan amat memahami. Patik akan persembahkan kepada Tuanku apabila kajian menyeluruh ini siap nanti.

Patik amat mengharapkan rakyat Malaysia dapat menghayati titah ucapan Tuanku. Perdana Menteri memberikan ingatan bahawa kerajaan akan membina lebih banyak SJKC jika mereka mampu melahirkan pelajar yang dapat berkomunikasi BM dengan baik.

Menurut Pengerusi Majlis Bahasa Cina Malaysia, Datuk Wang Hong Cai penguasaan BM yang lemah serta sukar memahami sesi pengajaran dan pembelajaran merupakan salah satu punca utama kira-kira 30 peratus daripada pelajar kaum Cina keciciran di peringkat sekolah menengah. Keadaaan ini berlaku disebabkan kesukaran dan kekangan mereka untuk menerima arahan serta berkomunikasi dalam BM di sekolah.

Pada peringkat sekolah menengah, mereka bukan sahaja perlu bercampur dengan pelajar bukan Cina tetapi turut mempunyai masalah dalam menyesuaikan diri dengan cara pembelajaran dalam BM. Dianggarkan 50 peratus daripada pelajar SJKC menghadapi masalah bertutur dan memahami BM dan ini akan menyusahkan diri mereka sendiri apabila ke sekolah menengah.

Perkara ini juga menjadi penyebabkan kepada murid berbangsa Cina keciciran daripada sekolah menengah kerana kekurangan minat untuk terus belajar dan ingin mula bekerja bagi mendapatkan wang.

Patik amat bersetuju dengan titah Tuanku bahawa adalah janggal dan ironis jika seseorang yang bertaraf warganegara Malaysia tidak boleh memahami, bertutur, menulis dan membaca dalam bahasa kebangsaan yang merupakan identiti sesebuah negara bangsa.

Sekolah vernakular wajib menghargai pendirian terbuka kerajaan yang membenarkan sekolah aliran tersebut terus beroperasi dan penghargaan itu wajib diterjemahkan dengan menjadikan sekolah tapak memupuk perpaduan dalam kalangan pelajar pelbagai kaum di negara ini.

Patik pernah berjumpa dengan pasangan suami isteri Cina, suami Cina (Malaysia) dan isteri Cina (China). Isterinya berasal dari negara China sangat terkejut dengan proses pencinaan yang keterlaluan dalam kalangan orang Cina Malaysia. Katanya, orang Cina mesti mempelajari BM dan tidak boleh terlampau kecinaan. BM adalah medium interaksi. Mana mungkin orang Cina boleh berinteraksi dengan majoriti Melayu jika tidak menggunakan BM. Orang Cina akan rugi jika tidak menguasai BM.

Ampun Tuanku! Sembah patik harap diampun. Patik pacal yang hina ini sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar Tuanku terus diberikan kesihatan yang baik bertakhta di singgahsana memerintah Negeri Perak dan jajahan takluknya dengan aman sentosa. Sesungguhnya setiap titah ucapan Tuanku amat mulia dan sentiasa membawa kepada pembinaan sebuah negara bangsa. Ampun Tuanku.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

The post Ampun Tuanku. Realiti Bahasa Melayu sekolah Cina appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Ampun Tuanku. Realiti Bahasa Melayu sekolah Cina
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Ampun Tuanku. Realiti Bahasa Melayu sekolah Cina"

Back To Top