Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 17 Muharram 1439H, Sabtu – Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (IGuru) berpendirian, hukuman buang sekolah pelajar bermasalah bukan jawapan untuk mengatasi masalah disiplin.
Presidennya, Ustaz Azizee Hassan, berkata sebaliknya, masalah lain akan timbul, bahkan menambahkan lagi masalah dalam masyarakat jika pelajar bermasalah itu dibiarkan.
Mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bahawa kementerian berpendapat tindakan buang sekolah bagi pelajar bermasalah masih relevan, beliau berkata, hukuman itu memberi peluang kepada masyarakat sekeliling untuk menjadi ‘guru tidak rasmi’ kepada pelajar terbabit.
“Sewajarnya pelajar bermasalah diberi alternatif lain seperti dikenakan hukuman berbentuk program khidmat sosial, khidmat bakti, menyertai kem pembinaan jati diri dan latihan kemahiran teknikal.
“Ini dapat mengurangkan masalah disiplin akibat jemu dalam pembelajaran yang membawa pelajar itu melakukan aktiviti negatif,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini sambil menyatakan sokongan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat terhadap cadangan mengkaji semula hukuman itu.
Beliau berkata, cadangan itu selaras dengan konsep sekolah sebagai tempat mendidik dan membina jati diri pelajar.
Pada masa sama, beliau berkata, sekolah yang menerima pelajar bermasalah perlu penjenamaan semula atau memberikan nafas baharu dengan program yang dapat membentuk jati diri, pemulihan mental dan spiritual serta membina kemahiran teknikal yang berguna selepas menamatkan persekolahan.
Selain itu, tegasnya, tanggungjawab menangani masalah disiplin bukan terbeban kepada pihak sekolah semata-mata.
Tetapi, ia juga kembali kepada peranan utama iaitu ibu bapa dan sokongan masyarakat.
“Pihak ibu bapa atas nama PIBG perlu saling membantu menangani kes pelajar bermasalah sebagai satu sarana keibubapaan.
“Perlu digabungkan kebijaksanaan dan kolaborasi semua pihak dari kementerian sekolah, ibu bapa dan masyarakat,” katanya.
The post Buang sekolah bukan jawapan kepada masalah disiplin pelajar: IGuru appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Buang sekolah bukan jawapan kepada masalah disiplin pelajar: IGuru
0 Komentar untuk "Buang sekolah bukan jawapan kepada masalah disiplin pelajar: IGuru"