Gema Semua Maklumat

Gimik bantah pesta arak: Polis tahan Jamal, tujuh lelaki

Gimik bantah pesta arak: Polis tahan Jamal, tujuh lelaki


SABAK BERNAM, 16 Muharram 1439H, Jumaat – Polis menahan Pengerusi Gabungan Gerakan Merah Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos dan tujuh lagi lelaki di sekitar Sekinchan, Sabak Bernam awal pagi ini. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, SAC Fadzil Ahmat dalam satu kenyataan berkata, mereka ditahan kira-kira jam 1.45 pagi.

Beliau berkata, mereka ditahan berhubung tindakan berhimpun dan memecahkan kira-kira 100 botol minuman keras di hadapan pintu utama Bangunan SUK.

“Ekoran insiden itu pihak IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah) Shah Alam telah menerima aduan daripada pengawal keselamatan yang bertugas semasa kejadian berkenaan.

“…dan satu siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kemudaratan awam ekoran tingkah laku yang dilakukan oleh peserta perhimpunan,” katanya.

Beliau berkata, polis akan memohon perintah reman ke atas kesemua mereka yang ditahan di Mahkamah Shah Alam di sini pagi ini, untuk siasatan lanjut kes tersebut.

Dalam kejadian kira-kira 10 pagi semalam, Jamal dan anggota gabungan itu membawa 10 kotak berisi kira-kira 100 botol minuman keras ke bangunan SUK, sebagai simbolik bantahan terhadap sebarang penganjuran pesta arak di negeri itu.

Jamal kemudian bertindak memecahkan kesemua botol minuman keras itu di hadapan pintu masuk utama bangunan tersebut.

Tindakan itu dibuat susulan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata penganjuran pesta makanan dan minuman Jerman termasuk arak yang dijadual berlangsung di sebuah pasar raya di Klang minggu depan boleh dibenarkan asalkan telah menepati syarat dan peraturan yang ditetapkan oleh polis serta Majlis Perbandaran Klang (MPK).

Pada Isnin lepas, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata pihaknya kekal dengan pendirian untuk tidak membenarkan penganjuran pesta itu ekoran wujud ancaman militan berkaitan acara berkenaan dan menasihatkan MPK untuk tidak membenarkan penganjuran acara itu.

Yang Dipertua MPK Datuk Mohamad Yasid Bidin pula mengakui pihaknya menangguhkan kelulusan permit sementara penganjuran pesta itu berikutan kegagalan penganjur mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan antaranya kebenaran daripada pihak polis.

The post Gimik bantah pesta arak: Polis tahan Jamal, tujuh lelaki appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Gimik bantah pesta arak: Polis tahan Jamal, tujuh lelaki
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Gimik bantah pesta arak: Polis tahan Jamal, tujuh lelaki"

Back To Top