SAYA hairan bila sebut sahaja beberapa universiti yang berada dalam senarai ‘ivy league’ seperti Cambridge, Harvard, Oxford dan lain-lain, semua orang akan terkesima. Seolah-olah bila dapat masuk sahaja ke tempat tersebut, maka menjadi orang bergunalah mereka atau hebatlah sangatlah mereka.
Ramai juga rakyat mereka yang belajar di sana, ke mana mereka hari ini? Adakah semua berjaya? Atau sekadar berlagak dengan bahasa Inggeris ‘accent ‘orang putih.
Apa guna keluar daripada Oxford jika jahil tentang sejarah bangsa dan agama sendiri.
Sangat menyakitkan apabila mendengar apabila ditanya wartawan kepada seorang pemimpin mengenai kedudukan sekolah vernakular, maka pemimpin ini pun menjawab, “jika nak tutup sekolah vernakular, maka sekolah agama pun mesti ditutup”. Adakah ini jawapan orang keluaran Oxford? Faham atau tidak, erti dan makna perlembagaan?
Jika tidak faham, sila bertanya kepada yang faham. Menyamakan sekolah venakular dengan sekolah agama, adalah perbandingan yang amat dangkal.
Sangat meloyakan lagi apabila seorang anak muda daripada sebuah parti politik sanggup membuat memanggil wartawan dalam sidang akhbar semata-mata untuk memberitahu bahawa beliau sanggup menolak tawaran biasiswa melanjutkan pelajaran ke Oxford demi untuk negara. Wahhhh! Hebatnya!!!.
Terkedu saya, perlukah kepada sidang akhbar perkara yang sangat bersifat peribadi. Lebih hebat lagi ketua ultra kiasu memuji, beliau adalah bakal pemimpin atau menteri Malaysia pada masa hadapan. Sesiapa yang dapat menghidu kelicikan ultra kiasu, pasti ada beberapa sebab ultra kiasu melakukan sedemikian. Ultra kiasu tidak akan mengangkat anak Melayu sewenang-wenangnya.
Pertama, ultra kiasu tidak akan memuji atau mengangkat seseorang jika tidak ada terselit sesuatu yang menjadi kegemarannya. Antaranya adalah sifat liberal.
Sebab itu, orang Melayu yang menyertai parti mereka dalam kalangan yang liberal. Mahu menghalalkan apa yang diharamkan. Contoh, pesta arak, seks bebas dan sebagainya. Jika ada pemimpin yang bercakap inilah hak asasi manusia, itulah yang paling disukai ultra kiasu.
Kedua, ultra kiasu tidak akan mengangkat Melayu yang suka kepada Islam. Kepada mereka, Melayu yang suka kepada Islam akan menjadi ancaman kepada mereka. Islam akan menjadi barah kepada parti ultra kiasu.
Sebab itu, jika ada dalam mereka yang menyertai parti ultra kiasu bertudung atau berpurdah, itu bukan sesuatu yang menghairan. Cuba selami hati budi mereka, pasti dalam kategori antara faham dengan tidak agama Islam yang menjadi agamanya. Ini kerana orang yang faham Islam tidak akan menyertai ultra kiasu.
Ketiga, ultra kiasu sangat obses dengan orang Melayu yang bersifat Malaysian Malaysia, Malaysia untuk orang Malaysia.
Tidak ada lagi hak istimewa orang Melayu dalam Perlembagaan. Semuanya sama rata dan sama rasa. Mereka yang kuat memperjuangkan perkara 3-12 (Islam), perkara 152 dan 153 (bahasa dan hak istimewa Melayu) dalam perlembagaan, tidak ada tempat dalam parti ultra kiasu. Ultra kiasu sangat suka jika pendidikan Melayu diinggeriskan, tanpa mengusik sekolah vernakular.
Keempat, kebanyakan mereka yang duduk dalam parti ultra kiasu dalam kalangan Melayu yang jahil. Masih mengekalkan tabiat buruk seperti minum arak dan suka kepada pergaulan terlalu bebas. Lelaki dan perempuan sudah tidak boleh beza. Sebab itulah mereka amat menyokong pesta arak dibuat secara terbuka walaupun ditentang oleh majoriti umat Islam. Sepatutnya, mereka bersama menyokong cadangan iaitu jika mahu minum arak, lakukanlah di tempat yang tertutup, mandilah sepuas-puasnya.
Kelima, tidak ketinggalan ultra kiasu juga suka dan sedang memancing orang agama untuk mempertahankan partinya menggunakan hujah al-Quran dan Hadis.
Saya teruja untuk melihat, sejauh manakah beliau mampu untuk mempertahankan kerajaan yang diterajui parti ultra kiasu ini? Saya ketawa beruk, apabila seorang pemimpin PAN berkata, ultra kiasu tidak akan dapat menjadi Perdana Menteri negara ini. Begitu juga menjadikan hasrat negara ini negara Kristian adalah sesuatu yang mustahil kerana mereka tidak akan mendapat dua pertiga dan tidak mendapat perkenan raja-raja Melayu.
Jahil sungguh pemimpin Melayu ultra kiasu ini. Memanglah mereka tidak akan menjadi Perdana Menteri. Mereka tidak akan mengisytiharkan negara ini negara Kristian. Jika mereka berbuat demikian, makin singkatlah hayat politiknya. Apa yang mereka akan lakukan apabila mendapat lebih kuasa ialah dengan menghalalkan segala perancangan Kristian, untuk memurtadkan lebih ramai orang Melayu dan mengkristiankan bukan Melayu Islam.
Berapa ramai orang Cina dan India yang sudah dikristiankan mereka. Sekarang mungkin kesannya tidak nampak. Jangka panjang, pasti akan dapat dirasaikan, ditambah dengan dalam kalangan Melayu yang tidak ada jati diri. Apakah kita masih buta bagaimana mereka mempolitikkan isu kedai dobi mesra Muslim seperti yang saya ulas minggu lalu.
Sebab itu, hari ini ultra kiasu amat memberahikan Perdana Menteri Melayu dalam kalangan ultra kiasu yang boleh menjadi boneka mereka, yang jahil dan yang liberal. Termasuk anak muda yang mendakwa menolak tawaran melanjutkan pelajaran di Oxford atas semangat sayang dan cinta negara.
Jika sayalah, dengan tawaran tersebut, sudah lama saya pergi. Tuntutlah ilmu walaupun sampai ke negara China. Menuntut ilmu itu amat mulia berbanding dengan berpolitik yang belum tentu terjamin dan penuh dengan kekotoran. Ramai orang lain yang tinggal yang sanggup berkorban untuk negara.
Apakah beliau menganggap beliau seorang sahaja sanggup berkorban apa sahaja? Tidak mungkin seorang anak muda sanggup berjuang dengan tangan kosong tanpa mendapat apa-apa habuan.
Satu lagi, apa jaminan selepas balik daripada Oxford, kita akan menjadi lebih hebat? Mark Zuberkerg, gagal di Harvard, hari ini beliau seorang yang begitu hebat. Justeru, ada apa dengan Harvard?
Mendiang Lim Goh Tong tidak pernah ke tempat tersebut, hatta sijil sekolah rendah pun tiada, tetapi dia mampu menerokai bukit Genting sehingga Genting Highland menjadi pusat pelancongan dunia. Mendiang dan perniagaan keluarga tersenarai dalam 10 terkaya Malaysia.
Begitu juga dengan Syed Mokhtar Bukhari, sampai SPM sahaja, berjaya menjadi menerajui syarikat konglomerat dan disenaraikan dalam 10 terkaya di Malaysia.
Dalam kehidupan ini, bukan soal di mana tempat kita belajar. Tetapi lebih penting adalah ‘attitude dan aptitude’. ‘Attitude’ berkaitan dengan sikap manakala ‘aptitude’ pula berkaitan bagaimana kita dapat menggunakan segala kelebihan yang Allah berikan untuk kebaikan diri dan sejagat.
Inilah sikap orang Cina yang saya puji. Kenapa hari ini ramai Cina yang berjaya di Malaysia walaupun bilangannya tidak seramai Melayu?
Orang Cina tidak mahu gagal di bumi orang. Sebab itu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk berjaya. Mereka tidak ada masa untuk membuang masa, melepak, sembang kosong, merempit dan banyak lagi tabiat membuang masa.
Peliknya, kenapa orang Melayu yang dianugerahkan oleh Allah dengan agama Islam, tidak menjadi lebih baik daripada itu? Tidakkah dengan Islam menjadi anutan menjadikan ia lebih baik? Elok juga kita muhasabah.
Justeru, masuk Oxford atau tidak, bukanlah jaminan berjaya atau tidak. Oxford bukan segala-gala. Namun demikian, jika ada yang terlalu berbangga dengan Oxford, saya harap mereka menghadam beberapa berikut:
Pertama, belajarlah sejarah Malaysia yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jati diri ini tidak boleh dipadamkan dan mesti didendangkan sentiasa. Tujuannya supaya jati diri tidak mati. Jika mati jati diri ini, maka akan keluarlah kenyataan atau pendapat yang pelik-pelik. Inilah yang paling disukai ultra kiasu. Orang inilah yang akan dicanangkan bakal Perdana Menteri Malaysia.
Kedua, lanjutan daripada itu, kenapa sejarah ini telah melakarkan sebuah Perlembagaan yang meletakkan status Islam, Melayu (bahasa dan hak istimewa) dan Raja di tempat yang tinggi, unsur tradisi yang sangat terpelihara dan mesti dipelihara. Ultra kiasu tidak suka kepada Melayu yang berpegang kuat kepada unsur tradisi ini.
Ketiga, perbaiki diri meningkatkan jati diri dengan mempelajari ilmu agama agar tidak menjadi jahil. Sekadar boleh sembahyang lima sehari dan menghafal beberapa ayat al-Quran, masih belum cukup. Dalamilah al-Quran dan hadis agar tidak hanyut dengan arus liberal yang semakin mempengaruh dan menghimpit. Jika kita mampu bertahan dan tidak mudah diperalatkan, maka tatkala itu saya tabik dengan keluaran Oxford.
Keempat, keluaran Oxford mesti pandai berhujah dan mampu untuk berhadapan serta menundukkan sifat ultra kiasu yang wujud pada rakyat Malaysia. Antaranya, dalam kalangan anggota akhbar berbahasa Inggeris yang menggunakan lambang bintang dan akhbar Cina yang rasis. Akhbar ini dan ketua pengarang sangat bahaya. Mereka membawa agenda ultra kiasu dan liberal, yang mahu menjadikan negara ini Malaysian Malaysia, sekular, liberal, berpesta arak dan judi, serta tidak ada lagi jati diri dan identiti Melayu dan Islam.
Akhirnya, saya merayu kepada rakyat Malaysia, supaya menilai seseorang bukan berasaskan kepada kelulusan atau Oxfordnya. Tetapi nilaikan melalui neraca iman dan takwa. Dalam kata lain, mempunyai attitude dan aptitude positif yang boleh membawa negara ini ke arah lebih baik serta berjati diri. Dapat menjaga rakyat dan negara ini berpaksikan kepada perlembagaan yang menjadi tunggak kehidupan bernegara.
Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan
Universiti Sultan Zainal Abidin
Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).
The post Hebat sangatkah keluaran Oxford? appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Hebat sangatkah keluaran Oxford?
0 Komentar untuk "Hebat sangatkah keluaran Oxford?"