KUALA LUMPUR, 9 Safar 1439H Ahad – Wakil kedutaan Malaysia hari ini dijangka membuat proses pengecaman terhadap mayat pendaki didakwa rakyat Malaysia yang ditemukan di Gunung Damavand, utara Iran kelmarin.
Jurucakap Kelab Jelajah Alpine (KJA) Mohd Khafiz Bachok berkata, ini bagi mengesahkan sama ada mayat yang dijumpai itu ialah Ramli Abdul Majid, pendaki yang hilang sejak setahun lepas di gunung berkenaan.
“Setakat ini, tiada pengesahan rasmi jasad yang dijumpai itu ialah Ramli. Pengecaman akan dilakukan hari ini oleh pihak kedutaan.
“Kenyataan rasmi akan dikeluarkan selepas pengesahan dibuat dan ia dijangka lewat petang ini,” katanya dalam kenyataan di sini mengenai Ramli yang berusia 44 tahun ketika dilaporkan hilang.
Laporan itu turut menyebut penemuan mayat berkenaan dimaklumkan kepada Jabatan Bulan Sabit Merah di bandar raya Amol dekat Wilayah Utara Mazandaran yang menghantar pasukan mencari.
Pada November tahun lepas, Ramli yang merupakan ketua jurutera sistem di ibu pejabat Proton Holdings, Shah Alam, Selangor bersama seorang lagi pendaki KJA, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, 50, dilaporkan hilang selepas terpisah daripada anggota kumpulan pendaki yang lain.
Pada 28 November 2016, Syed Redzuan ditemukan meninggal dunia di kawasan Yakhar Glacier dan jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.
Dengan ketinggian lebih 5,600 meter, Gunung Damavand merupakan gunung tertinggi di Iran. -Bernama
The post Kedutaan buat pengecaman mayat pendaki ditemui Gunung Damavand appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kedutaan buat pengecaman mayat pendaki ditemui Gunung Damavand
0 Komentar untuk "Kedutaan buat pengecaman mayat pendaki ditemui Gunung Damavand"