Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 27 Muharram 1439H, Selasa – Sesuatu yang lucu apabila Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, mengenai Malaysia sebuah negara Islam.
Komen Andy Yong macam tin kosong, kata Ketua Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Farid Hussin sambil mengatakan kenyataan Ketua Pemuda Gerakan itu menyerlahkan sikap sebenar parti berkenaan terhadap bangsa Melayu dan Islam.
Sebelum ini, Asyraf Wajdi berkata, Islam yang diperkukuhkan dari semasa ke semasa di negara ini adalah isyarat jelas kepada Barisan Nasional (BN) untuk tidak menyisihkan tanggungjawab menjadikan Malaysia sebuah negara Islam.
Namun, Andy Yong membidas kenyataan itu dengan berkata, tidak ada persetujuan dalam BN berkenaan Malaysia menjadi negara Islam.
“Dakwaan Asyraf bukan sebahagian daripada wawasan atau misi penubuhan BN dan ia tidak akan pernah menjadi begitu,” kata Andy Yong.
Mengulas lanjut, Farid berkata, Andy Yong adalah individu sama yang menyarankan Perkara 153 Perlembagaan Malaysia berkenaan kedudukan istimewa orang Melayu dipinda.
“Sangat lucu apabila dia cuba hendak mengatakan pandangan beliau selari dengan Perlembagaan Negara.
“Walhal Perlembagaan sendiri mengiktiraf kedudukan istimewa Islam dan Melayu dalam negara Malaysia. Apa yang diucapkan tidak logik, macam tin kosong,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.
Mengulas gesaan Andy Yong supaya Asyraf Wajdi berhenti mengelirukan orang awam, sebaliknya menyokong seruan Raja-raja Melayu untuk menjunjung kontrak sosial, Farid berkata, kenyatan itu amat pelik.
“Apa yang diucapkan menampakkan kedangkalannya berhujah. Pada masa sama, ia juga menunjukkan betapa lemahnya parti UMNO, yang merupakan ‘abang long’ dalam BN.
“Orang-orang UMNO pantas mempertahankan parti dan menghentam pihak pembangkang dalam isu melibatkan pemimpin mereka seperti 1MDB.
“Tetapi mereka hampir senyap sepi dalam isu yang lebih besar seperti Islam dan Melayu. Lebih memalukan, dalam hal ini pihak yang terlibat adalah ahli komponen BN yang mereka sendiri ketuai,” katanya.
The post Komen Andy Yong macam tin kosong: Ketua Pemuda Isma appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Komen Andy Yong macam tin kosong: Ketua Pemuda Isma
0 Komentar untuk "Komen Andy Yong macam tin kosong: Ketua Pemuda Isma"