Gema Semua Maklumat

Media tak boleh terlalu tunduk pada politik, terlalu bebas

Media tak boleh terlalu tunduk pada politik, terlalu bebas

Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

BANGI, 9 Safar 1439H, Ahad – Media memainkan peranan besar sebagai kuasa keempat dalam negara selepas kuasa eksekutif, perundangan dan kehakiman.

Rakyat memerlukan maklumat yang betul daripada media bagi membuat keputusan yang tepat sama ada dalam pilihan raya atau sebagainya.

Disebabkan kedudukan media yang penting, terdapat usaha campur tangan oleh pihak parti politik ke atas organisasi media.

Mereka mahu media hanya menyiarkan maklumat yang menyebabkan parti politik dipilih dan disokong oleh rakyat meskipun media terpaksa melanggar prinsip.

Inilah keadaan yang dinamakan sebagai media di bawah kawalan politik.

Ismaweb pada minggu lepas telah mengundang seorang wartawan bebas yang berpengalaman dalam dunia media iaitu Ku Seman Ku Hussain bagi mengupas isu ini dalam rancangan Dimensi yang membicarakan tajuk ‘Media di Bawah Kawalan Parti Politik’.

Tonton Video: DIMENSI: Media di Bawah Kawalan Parti Politik

Ku Seman menolak sebarang campur tangan politik ke atas mana-mana organisasi media kerana ia boleh menjejaskan peranan utama media.

“Bagi saya media tidak boleh dikawal sebab peranan dia sebagai kuasa keempat, kalau dikawal maksudnya peranan dia sebagai kuasa keempat itu tidak dapat dijalankan dengan baik.

“Kuasa keempat adalah kuasa bagi pihak rakyat, dia mewakili rakyat. Kalau dia tak boleh berperanan sebab dia dikawal oleh politik, oleh kerajaan, maka dia tidak berperanan sebagai kuasa keempat,” katanya.

Peneraju Dimensi, Mohd Firdaus Salleh Hudin.

Oleh demikian, media perlu bijak mempertahankan diri daripada pengaruh politik yang sentiasa mencari kesempatan menguasai media.

Ku Seman yang juga bekas pengarang Mingguan Utusan telah memberi skala 8/10 kepada kebebasan media di negara ini.

Katanya, media di Malaysia bebas, tidak sama seperti di zaman Suharto yang menyekat langsung kebebasan media.

Akan tetapi, beliau tidak memperjuangkan kebebasan media seperti di Barat yang bercanggah dengan prinsip Islam seperti mengangkat agenda liberal, hak asasi manusia versi Barat, mengangkat golongan Syiah dan sebagainya.

“Sebab itu saya tidak memperjuangkan kebebasan media, saya memperjuangkan kebebasan media dalam konteks orang muslim, kita ada prinsip-prinsip kita, kita tidak boleh bebas hanya kerana bebas saja.

“Tapi sebagai wartawan muslim, media muslim, kita ada benda-benda yang lebih terperinci berbanding dengan kebebasan media dalam konteks Barat,” katanya.

Sekiranya media arus perdana telah dikuasai sepenuhnya oleh sesebuah parti politik, beliau tidak risau keadaan itu kerana rakyat mempunyai media alternatif sebagai rujukan.

“Saya tidak terlalu bimbang apabila media arus perdana dikawal oleh politik, sebab kita mendapat maklumat daripada media lain, misalnya media online.

“Media online sekarang kebanyakannya bersifat neutral, mungkin setengah tu ada yang condong pembangkang sikit, condong kepada kerajaan sikit, tapi kebanyakan memberi persembahan lebih baik daripada media arus perdana dalam konteks kebebasan akhbar yang kita perlu.

“Kita tak bimbang kalau media arus perdana dikawal oleh kerajaan, tapi dalam konteks negara, kita nak media kita berperanan. Jadi kalau dilihat oleh orang luar, ada media yang tidak berperanan, itu jejaskan imej kita,” katanya lagi.

Tapi hati-hati, jangan sampai kita percaya bulat-bulat apa yang diperkatakan di media sosial seperti Facebook dan aplikasi Whatsapp, kerana tarafnya sama seperti sembang di kedai kopi, tiada siapa yang boleh mengesahkan kesahihannya.

Ku Seman juga mengingatkan pengguna supaya tidak terlalu taksud dengan mana-mana parti politik, individu atau media bagi mendapatkan maklumat yang tepat.

“Kita mengambil kira semua pandangan, dengan itu baru kita boleh mendapat apa yang dikatakan tepat. Kalau kita taksub pada sesuatu parti, kita akan tolak yang sebelah lagi. Kadang-kadang yang sebelah lagi betul. Yang parti kita taksub tu tak betul, jadi, jangan terlalu taksub dan cuba bagi orang ramai berfikir secara terbuka.

“Jangan terlalu cepat berkata ini agenda kerajaan, ini agenda pembangkang. Cuba berfikir cara tenang, cara terbuka,” katanya.

Kesimpulannya, media tidak boleh terlalu bebas dan tidak boleh terlalu tunduk kepada parti politik.

Ku Seman memetik kata-kata Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah yang bertitah mengenai peranan media.

“Saya sentiasa ingat titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan perak Sultan Nazrin bahawa media mesti berperanan jangan memutihkan yang hitam, dan jangan menghitamkan yang putih.

“Ucapan itu saya rasa menusuk dan walaupun baginda bukan orang media, tapi itu satu panduan bagi semua orang media berperanan. Ikutlah itu, jangan cuba kita memutarbelit fakta,” katanya.

The post Media tak boleh terlalu tunduk pada politik, terlalu bebas appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Media tak boleh terlalu tunduk pada politik, terlalu bebas
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Media tak boleh terlalu tunduk pada politik, terlalu bebas"

Back To Top