Gema Semua Maklumat

Obor-obor ancam nyawa membiak di Pulau Pinang

Obor-obor ancam nyawa membiak di Pulau Pinang

GEORGETOWN, 18 Muharram 1439H, Ahad – Dua spesies obor-obor yang boleh mengancam nyawa, terutama kanak-kanak ditemui membiak di laut sekitar Pulau Pinang.

Sengatan haiwan itu boleh menyebabkan sindrom Irukandji, termasuk tekanan darah tinggi dan sakit belakang melampau, loya, muntah, kekejangan, kesukaran bernafas serta kegagalan jantung berfungsi, kata pakar biologi marin, Sim Yee Kwang.

Memetik laporan The Star, beliau berkata, walaupun tidak berbahaya seperti obor-obor kotak atau Chironex fleckeri di luar pantai Australia yang berupaya membunuh manusia dalam tempoh tiga minit, dua spesies itu boleh meragut nyawa kanak-kanak termasuk orang dewasa.

Beliau berkata, populasi dua spesies itu yang dikenali sebagai Chiropsoides buitendijki dan Morbakka sp di Pulau Pinang ditemui dalam lingkungan dua kilometer persegi di laut dan 400 meter dari kawasan pantai.

Yee Kwang yang juga saintis di Pusat Kajian Samudera dan Pantai (Cemacs), Universiti Sains Malaysia (USM) sudah lama memantau kawasan pantai di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah, Tanjung Tokong dan Pantai Bersih di Butterworth setiap dua minggu sejak Julai lalu untuk menangkap obor-obor.

Obor-obor kotak terbesar pernah ditangkapnya ditemui pada jarak 200 meter dari kawasan Pantai Bersih, Butterworth, berukuran 18 sentimeter.

Pengarah Cemacs, Prof Datuk Dr Aileen Tan pula berkata, obor-obor kotak bukan spesies yang membiak di Pulau Pinang.

“Ini adalah spesies invasif. Kemungkinan besar, larva mereka telah dibawa ke perairan kita dalam pemberat kapal kargo,” katanya.

Dr Aileen berkata, keadaan cuaca tidak menentu yang membawa kepada perubahan suhu dan kemasinan laut boleh mencetuskan pembiakan obor-obor di sekitar Pulau Pinang dan sepanjang Selat Melaka.

Katanya, oleh itu amat penting untuk membangunkan mekanisme laporan mangsa yang terkena sengatan obor-obor di hospital tidak lama lagi.

“Kita perlu mengesan kes sindorm Irukandji di hospital untuk menyelesaikan masalah dan memantau pembiakan obor-obor kotak,” kata Dr Aileen.

Katanya, lima tahun lalu, beliau telah menemubual seorang penternak ikan yang disengat obor-obor ketika membersihkan sangkar ikannya di laut terbuka.

“Dia beritahu kami bahawa dalam tempoh lima minit, dia berdepan kesukaran bernafas dan dimasukkan ke wad selama beberapa hari.

“Kami mengesyaki ia ada kaitan dengan sindrom Irukandji tetapi tidak ada data untuk mengesahkannya,” kata Dr Aileen. – Mstar

The post Obor-obor ancam nyawa membiak di Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Obor-obor ancam nyawa membiak di Pulau Pinang
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Obor-obor ancam nyawa membiak di Pulau Pinang"

Back To Top