IPOH, 26 Muharram 1439H, Isnin – Dua lelaki termasuk seorang anggota polis cedera terkena mercun di luar Stadium Perak di sini, malam tadi sejurus tamat separuh akhir pertama Piala Malaysia Perak menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Mangsa yang cedera di perut dan dahi diberikan rawatan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sebelum dihantar ke hospital.
Beberapa penyokong bola sepak turut ditahan kerana membuat kecoh ketika mereka keluar stadium.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Sum Chang Keong berkata, mangsa adalah anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh dan seorang penyokong JDT.
Beliau berkata, sedikit kekecohan berlaku sesama penyokong sebaik tamat perlawanan, namun anggota polis berjaya menyuraikan keadaan kira-kira 12.30 malam.
“Kekecohan dipercayai hanya membabitkan penyokong tuan rumah kerana penyokong JDT telah keluar dari stadium dan menaiki bas dengan diiringi anggota polis,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.
Sum berkata, jumlah sebenar tangkapan belum dapat dipastikan, namun setakat ini beberapa individu ditahan antaranya mereka yang disyaki membaling mercun.
Katanya, lebih 1,000 pegawai dan anggota polis termasuk Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dikerahkan mengawal keselamatan sepanjang perlawanan berlangsung bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Pada perlawanan itu, Perak dan JDT terikat seri 1-1, masing-masing menerusi jaringan sendiri pemain JDT Mohamad Hasbullah Abu Bakar dan penyerang import dari Lubnan Mohamad Ghaddar. – Bernama
The post Piala Malaysia: Penyokong JDT, polis cedera kena mercun di Ipoh appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Piala Malaysia: Penyokong JDT, polis cedera kena mercun di Ipoh
0 Komentar untuk "Piala Malaysia: Penyokong JDT, polis cedera kena mercun di Ipoh"