JAKARTA, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Kira-kira 40,000 penduduk berhampiran gunung berapi Agung di pulau Bali telah dipindahkan selepas pihak berkuasa meningkatkan amaran tahap maksimum semalam.
Jurucakap agensi bencana Indonesia, Sutopo berkata, bagaimanapun masih terdapat puluhan ribu lagi penduduk dijangka akan diarah meninggalkan kediaman mereka.
“Kami meminta mereka yang berada di zon bahaya untuk berpindah segera kerana gunung berpotensi meletus bila-bila masa,” katanya.
Sutopo berkata, 40,000 daripada lebih 90,000 penduduk telah dipindahkan dari zon pengecualian yang terletak 8 kilometer hingga 10 kilometer daripada gunung berapi Agung.
Namun katanya, sebahagian besar penduduk berhampiran gunung tersebut masih enggan meninggalkan kediaman mereka.
“Tidak semua penduduk telah berpindah lagi. Ada di antara mereka yang belum meninggalkan kediaman kerana haiwan ladang mereka belum dipindahkan.
“Terdapat juga penduduk yang yakin mereka berada di zon selamat daripada gunung Agung. Bagaimanapun anggota keselamatan terus cuba memujuk mereka untuk segera berpindah,” katanya.
Debu dan asap tebal yang dibebaskan Agung sejak minggu lalu kini mencecah setinggi 3 kilometer di permukaan udara hingga memaksa penerbangan dibatalkan atau ditangguhkan.- Agensi
The post 40,000 penduduk berhampiran gunung Agung dipindahkan appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di 40,000 penduduk berhampiran gunung Agung dipindahkan
0 Komentar untuk "40,000 penduduk berhampiran gunung Agung dipindahkan"