Gema Semua Maklumat

Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas

Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas

RIYADH, 4 Rabiulawal 1439H, Khamis – Arab Saudi, Mesir, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, menyenaraihitam 11 lagi individu dan dua entiti lain, termasuk Kesatuan Ulama Islam Sedunia (IUMS), dalam senarai yang dianggap ‘pengganas’ bagi negara rantau Teluk itu.

IUMS diketuai oleh ulama terkenal dunia, Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradawi. Ahli Parlimen Marang yang juga Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, adalah Naib Presiden IUMS.

Jun lalu, empat negara itu menyenaraikan Qaradawi sebagai antara 59 individu dan 12 entiti lain dalam senarai pengganas.

Bagaimanapun, September lalu, Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan nama Qaradawi daripada senarai individu dikehendaki, setelah menyedari tuduhan jenayah terhadap beliau sengaja direka oleh rejim kudeta Mesir.

Pertubuhan Hak Asasi Kemanusiaan Arab (AOHR) yang berpangkalan di United Kingdom berkata, Interpol mendapati tuduhan terhadap Qaradawi tidak berasaskan perbuatan jenayah, sebaliknya kerana isu politik.

Arab Saudi dan sekutunya memutuskan hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Qatar sejak Jun lalu, dan menuduh Doha menyokong keganasan, menaja militan di Syria dan bersekutu dengan Iran, musuh serantau mereka. Qatar bagaimanapun, menafikan tuduhan itu.

Agensi berita rasmi Arab Saudi, SPA, hari ini melaporkan Arab Saudi dan empat negara itu mengisytiharkan bahawa tindakan terbaharu itu diambil berdasarkan komitmen mereka untuk memerangi keganasan dan menghalang sumber dana pengganas.

Laporan juga menyebut, usaha itu dilakukan bagi memerangi ideologi ekstrem, penyebaran dan usaha mempromosikan keganasan. Keempat-empat negara juga bekerjasama untuk membasmi dan menjadikan masyarakat kebal terhadap keganasan.

Dalam usaha dan kerjasama aktif memerangi keganasan, empat negara berkenaan mengumumkan sebagai tambahan dua entiti dan 11 individu lagi diletakkan dalam senarai pengganas, kata kenyataan yang disiarkan SPA.

Dua entiti yang diharamkan itu ialah Majlis Islam Antarabangsa ‘Massaa’ dan IUMS. Individu yang disenaraikan sebagai pengganas ialah:

1. Khaled Nazem Diab
– Warga Amerika kelahiran Syria.
– Ketua Bahagian Pembangunan Bantuan Antarabangsa Bulan Sabit Merah Qatar.
– Dituduh memberi dana kepada militan bersenjata di Syria.
– Disyaki terbabit dalam aktiviti di Yaman, Mauritania, Dijibouti dan Mosul (Iraq).
– Penyokong Ikhwanul Muslimin Mesir dan anggota sebuah badan yang mencurigakan iaitu Yayasan Al Karama.
– Pernah ditangkap di Lubnan pada 2013 atas tuduhan membiayai keganasan di Syria.
– Dikenal pasti sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

2. Salem Jaber Omar Ali
– Ulama Libya.
– Ahli IUMS.
– Dituduh menghasut kebangkitan militan bersenjata di Libya untuk melakukan serangan ke atas kemudahan awam.
– Dituduh menganggotai agensi berita pengganas – Boshra.
– Menganggotai badan amal Qatar dan perkhidmatan kemanusiaan Raf yang kedua-duanya didakwa sebagai pertubuhan pengganas.
– Rakan rapat kepada Qaradawi.

3. Moyasar Ali Musa.
– Bekas pegawai tentera Iraq.
– Disenaraikan oleh PBB sebagai pengganas dan bersekutu dengan al-Qaeda pada 2014.
– Menyertai pertubuhan Al Nusra di Syria sebelum dipecat oleh pemimpin gerakan itu, Abu Mohammed Al Julani.
– Bekas pembantu pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi.
– Menggunakan pasport Qatar untuk perjalanan ke luar negara.

4. Mohammed Ali Saeed Atm
– Warga Somalia
– Pemimpin kumpulan pengganas Somalia Al-Shabaab.
– Tinggal di Qatar sebagai pelarian politik.
– Diletakkan dalam senarai sekatan PBB.

5. Hassan Ali Mohammed Juma Sultan
– Warga Bahrain
– Ulama Syiah yang terkenal dengan pendapat ekstrem.
– Belajar keagamaan di Iran.
– Bersekutu dengan beberapa aktiviti keganasan kumpulan pengganas Syiah di Lubnan – Hezbollah.
– Dianggap sebagai pelarian di Bahrain.

6. Mohammed Suleiman Haidar Mohammed Al-Haydar
– Waris keluarga Qatar yang kaya.
– Dituduh membiayai beberapa kumpulan pengganas di Bahrain.

7. Mohammed Jamal Ahmed Hishmat Abdul Hamid
– Warga Mesir.
– Dituduh merancang pembunuhan Pendakwa Raya Mesir, Hisham Barakat.
– Melarikan diri ke Sudan, kemudian Turki selepas revolusi Mesir.
– Dituduh menghasut rusuhan di Mesir.
– Pengasas Parti Keadilan dan Kebebasan Mesir yang diharamkan.

8. Alsayed Dr Mahmoud Ezzat Ibrahim Eissa
– Warga Mesir.
– Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin Mesir.
– Pelarian yang dikehendaki oleh Jabatan Keadilan Mesir.
– Pernah dipenjara atas beberapa tuduhan jenayah.

9. Yahya Alsayed Ibrahim Mohamed Moussa
– Warga Mesir
– Dituduh merancang pembunuhan Pendakwa Raya Mesir, Hisham Barakat.
– Melarikan diri ke Turki selepas revolusi Mesir.
– Kerap melawat Qatar dan Somalia.
– Dituduh kononnya menjadi perancang utama beberapa plot jenayah di Mesir.

10. Qadri Mohamed Fahmy Mahmoud Al-Sheikh
– Warga Mesir.
– Pelarian.
– Tinggal di Turki.
– Suspek pembunuhan Pendakwa Raya Mesir, Hisham Barakat.

11. Alaa Ali Ali Mohammed Al-Samah
– Warga Mesir.
– Pelarian yang tinggal di Turki.
– Suspek utama cubaan bunuh timbalan pendakwa raya Mesir.
– Pengasas pergerakan HASM.
– Dituduh kononnya menjadi ketua pejabat bersenjata Ikhwanul Muslimin.

Arab Saudi dan sekutunya mendakwa IUMS dan Massaa adalah pertubuhan yang mempromosikan keganasan dengan mengeksploitasi ceramah dan wacana Islam bagi menutup pelbagai aktiviti keganasan.

Manakala, individu yang disenaraikan itu pula dituduh melakukan beberapa operasi keganasan. Mereka didakwa menerima bantuan dan arahan terus daripada pelbagai pihak di Qatar, termasuk menyediakan pasport dan menempatkan mereka di beberapa institusi amal Qatar bagi memudahkan pergerakan mereka.

Menerusi pemantauan yang dilakukan, Arab Saudi dan sekutunya mendakwa Qatar terus memberi sokongan kewangan dan menaja keganasan, mempromosi keganasan, menyebarkan kebencian menerusi ucapan dan tidak mengambil langkah bagi menghentikannya.

Keempat-empat negara itu mengulangi komitmen mereka untuk memperkukuhkan semua tindakan menentang keganasan dan menegakkan keamanan di rantau itu. Negara berkenaan juga menegaskan, mereka tidak teragak-agak untuk terus memburu individu dan kumpulan pengganas dan akan menyokong semua usaha di peringkat serantau dan antarabangsa.

Mereka juga akan meneruskan usaha memerangi kegiatan keganasan dan menyasarkan sumber kewangan pengganas, serta akan bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa seluruh dunia bagi mengekang aktiviti pengganas dan pertubuhan ekstrem. – Agensi/SPA

The post Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Arab Saudi, sekutu senaraikan Kesatuan Ulama Islam Sedunia sebagai pengganas"

Back To Top