DHAKA, 10 Rabiulawal 1439H, Rabu – Kerajaan Bangladesh meluluskan projek bernilai AS $ 280 juta untuk memindahkan 100,000 pelarian Rohingya dari kem sementara ke sebuah pulau terpencil.
Pengumuman itu muncul hanya beberapa hari selepas Bangladesh menandatangani perjanjian untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.
Meskipun dilanda kontroversi, kerajaan itu tetap meneruskan rancangannya walaupun terdapat amaran tempat tersebut tidak sesuai untuk didiami.
Majlis ekonomi kerajaan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Sheikh Hasina memberikan lampu hijau kepada pembangunan semula pulau Bhashan Char, projek yang telah menarik kritikan sengit sejak dicadangkan pada tahun 2015.
Setiausaha Perancangan, Ziaul Islam berkata, ia berharap pulau itu akan siap bermula Mei untuk menampung sebahagian daripada lebih 620,000 umat Islam Rohingya yang melintasi sempadan sejak tiga bulan lalu.
“Kira-kira satu lakh (100,000) akan dipindahkan ke sana pada masa ini. Kami berharap kerja-kerja projek itu akan siap menjelang 2018.
“Tentera laut telah diberikan tugas itu dalam usaha mempercepat kerja (projek),” katanya.
Bangladesh, sebuah negara sungai rendah yang berisiko naik dari paras laut, merancang pelan itu tahun lalu untuk menjadikan pulau itu sebagai stesen bagi pelarian meskipun mendapat tentangan.
Perancangan ini diteruskan kembali pada akhir bulan Ogos berikutan ketibaan pelarian Rohingya baru yang muncul di daerah Cox’s Bazar di bahagian selatan Bangladesh, mengakibatkan ketegangan besar terhadap sumber terhad dan kem-kem sementara di wilayah sempadan.
Tetapi para pemimpin untuk minoriti Muslim yang dianiaya itu terus menentang idea berkenaan.
Tentera laut telah membina dua helipads dan jalan kecil di pulau itu dalam beberapa bulan kebelakangan ini tetapi kebimbangan masih berterusan kerana ketidaksesuaiannya untuk kediaman manusia.
Malah, pakar juga memberi amaran bahawa ia boleh ditelan oleh pasang surut dan laut yang semakin meningkat. – Agensi
The post Bangladesh berdegil teruskan rancangan pindah pelarian Rohingya ke pulau terpencil appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Bangladesh berdegil teruskan rancangan pindah pelarian Rohingya ke pulau terpencil
0 Komentar untuk "Bangladesh berdegil teruskan rancangan pindah pelarian Rohingya ke pulau terpencil"