SHAH ALAM, 23 Safar 1439H, Ahad – Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini mengulangi penghargaan mendalam beliau kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa banjir di Pulau Pinang.
Setiausaha Agung DAP itu turut berterima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tindakan pantas beliau menghantar anggota tentera untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir di Pulau Pinang.
“Saya menghargai tindak balas kerajaan Persekutuan terhadap rayuan saya untuk mendapatkan bantuan pada awal hari 5 Nov yang bersejarah itu.
“Saya ucap terima kasih kepada Najib, Ahmad Zahid, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar kerana bantuan mereka,” katanya ketika berucap pada Kongres Khas Kebangsaan DAP di sini hari ini.
Hampir kesemua kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan digenangi air antara 0.2 dan satu meter, disusuli angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas, yang turun mengakibatkan berpuluh-puluh pokok tumbang.
Sehingga kini, banjir itu yang disifatkan paling buruk di negeri ini, mengorbankan tujuh nyawa.
Sementara itu, Lim berkata dalam pemilihan semula parti itu hari ini, banyak anggota parti tidak dapat menghadiri kongres khas ini oleh kerana Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengehadkan kehadiran hanya kepada pewakilan.
Beliau berkata DAP akur, di bawah protes, perintah ROS untuk parti itu memilih semula anggota jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) 2013.
Sebanyak 62 anggota bertanding bagi 20 jawatan CEC. Sejumlah 1,356 anggota perwakilan terbabit dalam proses pemilih yang bermula pada 12 tengah hari. – Bernama
The post Banjir: Lim Guan Eng ucap terima kasih kepada Najib, Zahid appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Banjir: Lim Guan Eng ucap terima kasih kepada Najib, Zahid
0 Komentar untuk "Banjir: Lim Guan Eng ucap terima kasih kepada Najib, Zahid"