BANGI, 17 Safar 1439H, Isnin – Ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang memukul anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela), didakwa di Mahkamah Majistret Ampang Jaya hari ini, atas pertuduhan yang dilakukan empat tahun lalu berkaitan dadah.
Datuk Sri Liow Soon Hee, 29, didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 ekoran mendapati ujian air kencingnya positif methamphetamine ketika ditahan di Balai Polis Daerah Dang Wangi pada 1 Februari 2014.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu.
Jika sabit kesalahan, Liow boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.
Timbalan Pendakwa Raya, Akmal Anuar mencadangkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin ke atasnya, namun peguam Liow, Farhana Halim meminta jumlah berpatutan ditetapkan.
Majistret Namirah Hanum Mohamed Albaki membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Disember depan untuk sebutan kes.
Jumaat lalu, Liow didakwa di mahkamah kerana menyerang tiga anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) dan menggunakan kekerasan untuk menghalang penjawat awam melaksanakan tugas.
Dia bagaimanapun ditahan semula oleh pasukan anti narkotik dari Balai Polis Dang Wangi di luar Mahkamah Sesyen Ampang Jaya pada Jumaat, selepas beliau membayar wang jaminan berjumlah RM17,000 terhadap empat pertuduhan yang dihadapi beliau dalam hubungan dengan dakwaan menyerang tiga anggota RELA itu.
The post Datuk Seri pukul Rela didakwa kes dadah appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Datuk Seri pukul Rela didakwa kes dadah
0 Komentar untuk "Datuk Seri pukul Rela didakwa kes dadah"