GEORGETOWN, 17 Safar 1439H, Isnin – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ditangguh dan akan disambung semula Rabu ini.
Ia bagi membenarkan wakil rakyat memantau keperluan dan keadaan penduduk di kawasan mereka.
Speaker DUN Pulau Pinang, Datuk Law Choo Kiang membuat pengumuman itu hari ini, ekoran selepas selesai perbahasan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengenai gerakan kecemasan banjir yang dibentangkan Choe Kon Yeow (DAP-Padang Kota).
Law berkata, penangguhan itu membolehkan wakil rakyat turun padang membantu penduduk di kawasan mereka yang terjejas akibat banjir teruk sejak semalam.
Hampir keseluruhan kawasan di negeri itu lumpuh ekoran banjir teruk akibat hujan lebat dan angin kencang berterusan sejak Khamis lalu, sehingga mengorbankan tujuh nyawa.
Hujan lebat di Pulau Pinang dicatatkan tertinggi dalam rekod taburan hujan di negeri itu dengan bacaan 315mm.
Di tanah besar, kawasan yang terlibat banjir ialah Kepala Batas, Tasek Gelugor, Bagan Dalam, Butterworth, Permatang Rawa, Permatang Pauh, Seberang Jaya, Bukit Teh, Alma, Bukit Tambun dan Simpang Ampat.
Manakala, di bahagian pulau melibatkan Bandaraya George Town, Tanjung Bungah, Jalan Masjid Negeri, Jalan Perak, Jalan P. Ramlee, Kampung Dodol, Balik Pulau, Sungai Ara, Bayan Lepas, Bayan Baru, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang.
Setakat malam tadi, hampir 4,000 orang dipindahkan di Pulau Pinang melibatkan 56 pusat pemindahan.
The post Banjir: Speaker tangguh sidang DUN Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Banjir: Speaker tangguh sidang DUN Pulau Pinang
0 Komentar untuk "Banjir: Speaker tangguh sidang DUN Pulau Pinang"