KUALA TERENGGANU, 30 Safar 1439H, Ahad – Persatuan Hotel Malaysia (MAH) boleh bertemu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi menangani isu wanita bertudung dilarang bekerja di barisan hadapan sektor perhotelan.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bukan saja dari segi berpakaian, malah turut membabitkan etika perkhidmatan dan sebagainya.
“Kita ada banyak persatuan yang mewakili pihak-pihak dalam industri. Mungkin perkara ini boleh dijadikan sebagai perbincangan, bagaimana kita hendak buat kaedah terbaik demi kemaslahatan semua pihak,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika pihak tertentu menganggap bertudung tidak membantu dari segi pelancongan dan kedatangan pengunjung, Malaysia sudah pun membuktikan perkara tersebut bukan isu sebenar.
“Malaysia sudah berada di tempat pertama dan diiktiraf destinasi mesra Muslim selama tujuh tahun berturut-turut menerusi Global Muslim Travel Index.
“Bukan mudah untuk kita menang selama tujuh tahun berturut-turut. Kalau ini (larangan bertudung) dijadikan faktor menarik pelancong, ini tidak munasabah dan tidak masuk akal sekali,” katanya.
Katanya, perkara itu menunjukkan bahawa pelancong asing gemar ke Malaysia dan selesa dengan apa yang ada di negara ini serta menghormati agama Islam.
“Jadi, kenapa kita pula orang Malaysia hendak memperkotak-katikkan apa yang sudah ditentukan dalam perlembagaan. Ini benda yang patut kita tidak boleh bagi muka dan Puteri UMNO Malaysia merasakan ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
The post Isu pakai tudung: Kementerian Pelancongan sedia bertemu MAH appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Isu pakai tudung: Kementerian Pelancongan sedia bertemu MAH
0 Komentar untuk "Isu pakai tudung: Kementerian Pelancongan sedia bertemu MAH"