KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1439H, Khamis – Orang ramai dilarang sama sekali menceroboh kawasan pepasangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) termasuk menara talian dan pencawangnya bagi mengelak risiko kemalangan elektrik.
Naib Presiden (Grid) TNB, Datuk Ho Peng Choong berkata, terdapat risiko renjatan serta pancaran arka daripada arus bervoltan tinggi yang boleh menyebabkan kecederaan serius dan kehilangan nyawa.
“Ia juga boleh mengakibatkan kerosakan harta benda dan gangguan bekalan kepada pengguna yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peringatan itu dikeluarkan susulan kejadian seorang lelaki dilaporkan memanjat menara talian penghantaran TNB di Bangsar beberapa hari lalu, untuk merakamkan swafoto bagi menyambut hari lahirnya.
Selain itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya jangan membawa peralatan panjang seperti galah di bawah talian atau memancing di kolam atau tasik di kawasan berdekatan talian atas bervoltan tinggi.
“Sebagai syarikat yang prihatin terhadap aspek keselamatan elektrik, TNB memohon kerjasama semua agar menjauhi kawasan TNB yang dipasang papan tanda kawasan larangan demi mengelakkan perkara tidak diingini,” katanya.- Bernama
The post ‘Jangan ceroboh kawasan pepasangan TNB’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di ‘Jangan ceroboh kawasan pepasangan TNB’
0 Komentar untuk "‘Jangan ceroboh kawasan pepasangan TNB’"