Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 27 Safar 1439H, Khamis – Pengamal undang-undang, Aidil Khalid mempersoal pendirian puak feminis yang masih berdiam diri berhubung isu larangan bertudung, yang kononnya selama ini memperjuang hak asasi manusia.
“Sisters In Islam yang kononnya pejuang feminis dan hak-hak wanita, masih senyap sepi dalam isu diskriminasi terhadap wanita bertudung ini.
“COMANGO yang baru beberapa bulan yang lalu membuat perhimpunan jalanan untuk memperjuangkan kononnya hak sama rata terhadap wanita pun, masih membisu seribu bahasa.
“Tidak berdecit walau sepatah berkenaan tindakan biadab wakil Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee, yang mengatakan larangan menutup aurat adalah kononnya mengikut piawai antarabangsa.
“Bahkan BEBAS yang mottonya adalah “sekular dan saksama” pun masih belum mengeluarkan sebarang kecaman terhadap polisi yang sama sekali tidak saksama ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini MAH mempertahankan tindakan industri perhotelan negara yang melarang pekerja wanita beragama Islam bertudung bekerja di bahagian perkhidmatan pelanggan, sambil menegaskan ia sebahagian daripada polisi antarabangsa dan bukannya diskriminasi.
Aidil berkata, hakikatnya, isu larangan bertudung ini bukanlah isu baharu.
Sebaliknya beliau berkata, ia telah berlaku sekian lama berlaku, cuma baru dibangkitkan semula semenjak seminggu lalu.
“Apapun yang semua perlu tahu, tiada sebab untuk dasar diskriminasi yang tidak bertamadun ini diteruskan,” katanya.
The post ‘Kata SIS pejuang hak asasi, kenapa masih membisu?’ appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di ‘Kata SIS pejuang hak asasi, kenapa masih membisu?’
0 Komentar untuk "‘Kata SIS pejuang hak asasi, kenapa masih membisu?’"