Gema Semua Maklumat

Keakraban Arab-Israel: Bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap Sunni atau menjaga keselamatan Israel?

Keakraban Arab-Israel: Bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap Sunni atau menjaga keselamatan Israel? -
Hubungan intim Arab dan Israel
HAJI ABDUL HADI AWANG  -  November 22, 2017 11:36 am
Beberapa media Arab mendedahkan hubungan terbuka dan sulit secara intim di antara Arab dan Israel. Dikatakan tujuannya ialah keselamatan serantau Asia Barat. Namun fikirkan hujahnya, adakah bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap dunia Sunni atau menjaga keselamatan Israel?

Semua media yang dikuasai oleh kerajaan di serantau Asia Barat menjadikan bahaya Syiah dan Iran sebagai noktah yang satu dan disokong pula oleh media Israel. Adapun gerakan menentang Israel seperti Hamas, Tanzim Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah semuanya dilabelkan pengganas. Marilah berfikir dan mengkaji terlebih dahulu dengan bijak, sedar dan insaf sebelum membuat keputusan.

Kumpulan Syiah sudah wujud sejak zaman awal Islam, kerana kekhilafan berhubung masalah perlantikan khalifah selepas wafatnya Rasulullah S.A.W.

Pada zaman Khulafa Ar-Rasyidin, pelantikan Saidina Abu Bakar R.A, Saidina Umar R.A, Saidina Uthman R.A dan Saidina Ali K.W.H diterima secara sepakat oleh para ulama muktabar daripada semua mazhab, sehingga bersatu mempertahankan Islam, menegakkannya dan menyebarkan dakwah ke seluruh pelosok dunia.

Namun dihangatkan semula pada zaman Umawiyah dan Abbasiyah apabila platform Ahli Sunnah diambil oleh para khalifah, khususnya yang berlaku zalim. Pertelingkahan politik berkenaan calon khalifah yang semuanya sudah meninggal dunia dinyalakan semula pada zaman mutakhir.

Ahli Al-Bait menjadi sasaran buruan pemerintah tanpa mengira Sunni, Syiah atau Khawarij semata-mata kerana pengaruhnya dikira ancaman kepada khalifah yang ada. Para ulama pula ada yang beristiqamah dan ada yang hanyut. Namun semua ulama dan ketua madrasah mazhab khususnya Ahli Sunnah tidak menyokong khalifah yang zalim dan bersama Ahli Al-Bait, padahal mereka bukan Syiah. Semuanya melaknat peristiwa pembunuhan Saidina Husain R.A, cucu Baginda Nabi S.A.W.

Ada kalangan yang dizalimi sehingga dibunuh seperti Abdullah bin Al-Zubair, dan dikalangan para sahabat dan kalangan Tabi’ein seperti Said bin Jubair dan lain-lain. Ada yang dipenjarakan seperti Imam Abu Hanifah. Di sana ramai kalangan ulama ahli Al-Bait bersama dengan ulama Ahlu Sunnah turut menjadi sasaran pemerintah pada zamannya seperti Imam Jaafar Al-Sodiq. Ada juga kalangan ulama mujtahid yang selepasnya seperti pengikut Said bin Jubair dan lain-lain yang dibunuh oleh khalifah yang zalim, tiba-tiba pengikutnya disenaraikan kumpulan Khawarij oleh kerajaan pada zamannya dengan sebab kepentingan politik, bukan hukum syariat.

Walaupun mazhab politik dalam Islam ini akhirnya mempengaruhi pengajian aqidah, feqah dan tasawuf sehingga berkhilaf pula di dalamnya, serta ada yang melahirkan banyak perkara bid’ah yang wujud daripada semua mazhab. Namun, para ulama mengumpulkan semua mazhab di dalam kitab-kitab yang dikarang supaya dikaji mana yang kuat hujahnya dan mana yang ditolak berpandukan sumber hukum Islam yang sahih berpandukan Al-Quran dan Sunnah, serta kaedah sumber kajian yang lain secara ijtihad yang adil. Peranan ini adalah tugas para ulama semua mazhab yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa campur tangan kerajaan yang tidak istiqamah (konsisten).

Semuanya adalah perkara rumahtangga umat Islam yang tidak boleh diizinkan campur tangan asing, khususnya kalangan musuh Islam yang nyata tidak ikhlas terhadap umat ini. Langkah awal OIC yang menubuhkan kumpulan pemikir daripada kalangan para ulama muktabar sangat baik dengan syarat jangan diganggu oleh pengaruh politik negara yang tidak sihat.

Sila kembali kepada sejarah penjajahan Barat yang menggunakan Syarif Husain sebagai Raja Hijaz (termasuk Makkah dan Madinah) supaya mengisytiharkan Revolusi Agung Arab di Tanah Suci ini pada tahun 1916, yang sepatutnya tidak berulang lagi kerana membawa celaka yang panjang ke atas umat Islam.

Kedatangan Presiden Donald Trump ke Arab Saudi dan susulannya menubuhkan kumpulan negara Arab dan Islam, serta dilakukan perubahan struktur kerajaan Arab Saudi terkini dan disertakan pula penglibatan Israel secara terbuka yang mendukung gagasan untuk menghadapi bahaya yang dikatakan Syiah dan Iran, hendaklah difikirkan dengan bijak secara bebas dan ikhlas, khususnya hari ini dipalu gendang perang selepas Perdana Menteri Lubnan, Saad Hariri membuat kenyataan peletakan jawatannya. Persoalannya, mengapa di Riyadh bukannya di Beirut?

Al-Quran mengajar umat Islam supaya sentiasa bersama Kitab Allah ini dan Rasul yang diutuskan bersamanya. Al-Quran mengesahkan walaupun Nabi Musa A.S dan Harun A.S daripada bangsa Yahudi tetapi Allah melantik mereka menjadi Rasul bersama Kitab Allah bernama Taurat. Maka Allah memerintahkan supaya beriman kepada kitab Taurat dan Rasul-Nya walaupun daripada bangsa Yahudi dan menolak Firaun Mesir yang kafir laknat walaupun kelahiran Mesir di bumi Al-Azhar yang menjadi pusat ilmu Islam kini kerana Firaun menolak Rasul dan Islam.

Begitulah Allah mewajibkan beriman kepada Al-Quran dan Rasulullah S.A.W bukan kerana bangsa Arab dan Bumi Makkah yang suci dan Batu Kaabahnya. Allah menolak Abu Jahal dan Abu Lahab kerana mereka menolak Al-Quran dan Rasulullah S.A.W. walaupun kelahiran di Makkah dan daripada keluarga Ahli Al-Bait.

Kini Israel ditubuhkan bagi menegakkan negara Haram Israel yang merupakan agenda Yahudi Zionis ke arah menakluk dunia di atas nama keagungan bangsa Yahudi, bukan kitab Taurat daripada Allah dan Islam yang sebenar. Berbeza dengan negara yang dipimpin oleh Nabi Sulaiman A.S. yang dibanggakan oleh bangsa Yahudi kini, sedangkan mereka bukannya menegakkan Islam warisan Nabi Sulaiman A.S, sepertimana dinyatakan dalam perutusannya yang disebut di dalam Al-Quran:

“Sesungguhnya surat itu daripada Nabi Sulaiman dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani (30) Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku dan datanglah kamu kepadaku dengan Islam (menyerah diri, beriman dan mematuhi ajaran agama Allah) (31)” (Surah AN-Naml: 30-31)

Adakah bunga Perang Dunia Ketiga dinyalakan di Makkah sepertimana perisytiharan Revolusi Arab pada tahun 1916 oleh Syarif Husain di Makkah yang mencetuskan Perang Dunia Pertama yang telah meranapkan kuasa Islam?

Apakah yang dilakukan ini kerana sebenarnya bahaya Syiah dan Iran? atau sebenarnya kerana keselamatan Israel yang menjadi kubu paling hadapan menghadapi kebangkitan semula umat Islam?

Saya tidak boleh menerima alasan bahaya Syiah, hujahnya kerana Sana’a di Yaman kini sudah dikuasai oleh mereka. Saya tidak lupa betapa Arab Saudi menyokong kumpulan Syiah ini sejak tahun 1961 sehingga diubah pendirian hari ini dengan menentangnya selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyelar Amerika di hadapan Kongresnya setelah kumpulan Syiah menawan Sana’a, dan Saudi terus melakukan perisytiharan perang ke atas Yaman di Washington, bukannya di Riyadh. Barangkali mengambil contoh Perdana Menteri Lubnan mengisytiharkan peletakan jawatannya di Riyadh, bukannya di Beirut.

Saya tetap kembali kepada Al-Quran walaupun raja yang menjadi khadam dua Tanah Haram mengadakan hubungan intim dengan Israel bersama Amerika Syarikat kerana saya tidak beriman kepada Batu Kaabah tetapi beriman kepada Allah.

Saya mendukung gabungan Turki, Iran dan Rusia, serta Qatar yang sudah beralih kecenderungan kepadanya bersama beberapa negara Arab yang lain tanpa mempedulikan kebanyakan negara teluk. Malah Mesir menunjukkan kegoyangan pendiriannya walaupun pernah bersama Israel.

Turki menunjukkan perubahannya daripada sekular dan bersekutu dengan Barat dan Israel kepada ke arah Islam. Iran pula menunjukkan perubahan kerajaannya yang tidak terikat dengan Feqah Syiah yang fanatik dalam pemerintahannya kepada sistem Islam yang demokratik yang mereka sebut Wilayah Al-Faqeh. Sedangkan negara Arab terus berlindung dengan Sunni yang paling Salafinya, tetapi berwajahkan diktator yang tidak ada kaitan dengan Sunni. Adapun Rusia menunjukkan polisi yang tidak bersifat Islamofobia mengikut agenda Amerika dan sekutunya.

Apakah alasannya yang kita wajib bersama kumpulan Islam Hamas, Jihad daripada Sunni dan Hizbullah daripada Syiah yang dijadikan kambing-kambing hitam yang hendak dikorbankan dengan mudah? Marilah kita bersatu menghadapi Israel dan sekutunya terlebih dahulu, kemudian selesaikan isu Sunni dan Syiah secara dalaman dan ukhuwwah dalam satu keluarga Islam dalam perkara rukun dan asas, walaupun berkhilaf cabangnya.

Allah juga mendedahkan bahawa kumpulan Yahudilah yang mencetuskan api peperangan dunia dan Allah tidak mengizinkannya marak sehingga kemuncak. Firman Allah:

“Dan orang-orang Yahudi itu berkata: Tangan Allah terbelenggu (bakhil, kikir), sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan itu, bahkan kedua tangan Allah sentiasa terbuka (nikmat dan kurnia-Nya luas melimpah-limpah). Dia belanjakan (limpahkan) sebagaimana yang Dia kehendaki dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu dari tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga Hari Kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya dan mereka pula terus-menerus melakukan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan. (64) Dan sekiranya Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa tentulah Kami akan hapuskan dari mereka kejahatan-kejahatan mereka dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Syurga-syurga yang penuh nikmat. (65) Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah) dalam Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). Di antara mereka ada sepuak yang adil dan kebanyakan dari mereka, buruk keji amal perbuatannya. (66)” (Surah Al-Maidah: 64-66)


Keakraban Arab-Israel: Bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap Sunni atau menjaga keselamatan Israel? merupakan Entri ulangsiar. Credit kepada sumber asal di Keakraban Arab-Israel: Bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap Sunni atau menjaga keselamatan Israel?
Tag : Semasa
0 Komentar untuk "Keakraban Arab-Israel: Bahaya Iran dan pengaruh Syiah terhadap Sunni atau menjaga keselamatan Israel?"

Back To Top