Gema Semua Maklumat

Kempen ‘No Gadget Hour’ kukuhkan hubungan kekeluargaan

Kempen ‘No Gadget Hour’ kukuhkan hubungan kekeluargaan

IPOH, 6 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Kempen ‘No Gadget Hour’ oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) di Perak bertujuan memastikan ibu bapa menggunakan masa seharian dengan lebih berkualiti bersama anak-anak berbanding mengutamakan penggunaan gajet.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Rusnah Kassim berkata, kempen berkenaan bertujuan mengukuhkan lagi hubungan dan interaksi di antara ibu bapa dan anak-anak serta ahli keluarga.

“Perkembangan teknologi media sosial hari ini menunjukkan bahawa masalah gejala, keruntuhan moral dalam kalangan anggota keluarga dan anak-anak menjadi semakin kompleks.

“Jangan disebabkan penggunaan telefon pintar atau gajet, keluarga boleh jadi kacau-bilau, suami isteri bergaduh atau bercerai, anak-anak terabai malah lebih buruk apabila anak-anak terjerumus dengan pelbagai aktiviti tidak sihat dan jenayah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan 1Malaysia 2017 peringkat negeri Perak, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rusnah menyeru ibu bapa supaya meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak dengan mengehadkan atau tidak menggunakan gajet semasa bersama ahli keluarga.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) LPPKN Abdul Shukor Abdullah berkata kempen ‘No Gadget Hour’ memfokuskan kepada nilai-nilai masyarakat dari segi sikap, tingkah laku, corak berfikir dan norma dalam amalan seharian untuk mengekalkan kebahagiaan serta keharmonian dalam institusi keluarga.

Katanya, perkembangan media sosial masa kini seperti Facebook, WhatsApp, WeChat serta Twitter menyebabkan anak-anak lebih banyak menghabiskan masa seharian dengan gajet sehingga mereka bersikap antisosial, tidak mahu berinteraksi serta tidak mahu mendengar kata ibu bapa.

“Terdapat anak-anak yang kurang mendapat perhatian daripada ibu bapa kerana mereka lebih kerap mendampingi gajet berbanding meluangkan masa dan berinteraksi bersama anak-anak,” katanya. -Bernama

The post Kempen ‘No Gadget Hour’ kukuhkan hubungan kekeluargaan appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Kempen ‘No Gadget Hour’ kukuhkan hubungan kekeluargaan
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Kempen ‘No Gadget Hour’ kukuhkan hubungan kekeluargaan"

Back To Top