Gema Semua Maklumat

Konservatisme feudal pengaruhi elit Melayu

Konservatisme feudal pengaruhi elit Melayu

".......modenisasi dan penjajahan Malaya, walaupun membawa 
perubahan-perubahan sosial, tidak menyebabkan kejatuhan golongan 
bangsawan tradisional tetapi sebaliknya memperkukuhkan 
kedudukannya. Kehilangan kuasa mereka di tangan British telah 
diganti dengan peningkatan kuasa pentadbiran dan kuasa sosial." - 
S.H Al Attas"

PEMIKIRAN feudal yang diwariskan kepada orang Melayu ialah setia membuta tuli terhadap golongan elit Melayu. Era neofeudalisme sebenarnya mempunyai pemikiran feudal yang lebih pekat berbanding era feudal sendiri.

Hal ini disebabkan oleh selepas berakhirnya era feudalisme, bermula pula era baru neofeudalisme di mana tempat pembesar-pembesar feudal digantikan dengan golongan elit yang berpengaruh dan berkuasa.

Dulu pembesar-pembesar feudal menonjolkan wira dalam kalangan orang Melayu yang tidak mempunyai pemikiran atau pandangan dunia yang luas terhadap keadilan sosial. Kerana kecetekan pemikiran dan tiada prinsip diri, mudahlah dikawal oleh pembesar feudal.

Wira ini jenis  begini diperlakukan seperti haiwan, diperagakan kehebatan bertarung di tengah gelanggang sambil disaksikan oleh pembesar-pembesar feudal. Wira pun bertarung setengah mati dengan kudrat, bukan ketinggian pemikiran untuk mematahkan hujah lawan.

Disebabkan oleh akal dan pemikiran mereka dangkal, kehebatan hanya diukur pada kekuatan fizikal bukan daya intelektual. Cuma  lebihnya wira ini mempunyai tahap kesetiaan yang sangat tinggi, sekalipun pada hal-hal yang bertentangan dengan agama, moral atau sosial.

Maka tidak hairanlah kalau tokoh-tokoh feudal yang tidak menyumbang kepada kemajuan intelektual orang Melayu zaman dulu diangkat sebagai wira. Terus disanjung zaman ke zaman dalam pendidikan sejarah di negara kita. Sumbangan kemasyarakatan tidak menjadi ukuran sebaliknya dilihat sejauh manakah kesediaan berkorban pada hal- hal yang tidak menyumbang kepada kebaikan masyarakat.

Penjajah amat suka dengan sikap pembesar feudal yang membentuk wira untuk menjaga kelangsungan kuasa seperti ini. Maka penjajah pun mendekati pembesar feudal sebagai seorang rakan bukan musuh di mana bangsanya akan ditarah kemudiannya.

Pemikir S.H. Al Attas dalam The Gradding of Accupational Prestige Amongs the Malay ini Malaysia dalam jurnal Modernization and Sosial Changemenulis, “……modenisasi dan penjajahan Malaya, walaupun membawa perubahan-perubahan sosial, tidak menyebabkan kejatuhan golongan bangsawan tradisional tetapi sebaliknya memperkukuhkan kedudukannya. Kehilangan kuasa mereka di tangan British telah diganti dengan peningkatan kuasa pentadbiran dan kuasa sosial.”

Pemikiran feudalisme ini dialirkan kepada golongan elit Melayu yang berkedudukan tinggi, berkuasa dan berpengaruh dalam sistem sosial dan politik moden. Mereka juga  menonjolkan diri  dan mencipta  manusia-manusia yang berperibadi sama sebagai wira supaya dipuja oleh orang Melayu.

Elit Melayu ini mempotretkan diri sebagai wira   mempertahankan sesuatu yang menggugat kedudukan  orang Melayu, walaupun dalam hal-hal yang bertentangan dengan agama, etika moral atau budaya.  Hal yang sebenarnya elit Melayu mempertahankan kepentingan mereka.

Aliran pemikiran menjulang Hang Tuah era feudalisme sebagai wira Melayu kerana setia buta tulinya adalah satu bentuk konservatisme feudal kepada orang Melayu hingga sekarang. Konservatisme ini mengalir kepada elit Melayu kemudian  mereka menjadi wira atau mencipta  wira-wira Melayu yang cetek pemikiran, samseng dan oportunis yang kononnya memperjuangkan orang Melayu.

Sebenarnya wira ini hanya memperjuangkan kelangsungan elit Melayu. Pada masa yang sama pula dari setiap penjuru dan setiap masa, orang Melayu diperingatkan dan dijaja tentang masa depan mereka yang gelap sekiranya tiada elit Melayu. Peringatan-peringatan yang berupa ugutan ini diulang-ulang hingga tertanam di benak orang Melayu.

Oleh hal yang demikian tidak menghairankan kalau sepanjang zaman ada sahaja wira Melayu yang dungu ditonjolkan. Mereka ini menjadi benteng kelangsungan kuasa kepada elit Melayu.

Taat setia membuta tuli ini membuatkan wira itu pasif dan membisu terhadap kelemahan dan kemungkaran  golongan mereka. Pada masa yang lain pula mereka menjadi proaktif meluahkan hujah hujah dangkal semata-mata untuk  mempertahankan  elit Melayu  yang menyediakan kemewahan dan kedudukan kepadanya.

Pada era feudalisme wira disuruh berlawan seperti haiwan di tengah gelanggang dan disaksikan oleh pembesar-pembesar istana sambil bersukaria dengan dayang-dayangnya. Pada era moden ini pula elit Melayu juga melakukan hal yang sama. Mereka sendiri  tampil “berlawan” dengan lawan  serta memperagakan sekelian banyak kebodohan yang ada demi kelangsungan kuasa.

Tetapi dari segenap penjuru dan setiap detik dia terus diberi pujian dan dipuja kerana  golongan elit Melayu ini  sanggup berbuat apa sahaja demi bangsanya. Wira ini terpesona dengan pujian demi pujian, mereka pun terus tampil dengan tindak tanduk yang memalukan bangsanya.

The post Konservatisme feudal pengaruhi elit Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Konservatisme feudal pengaruhi elit Melayu
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Konservatisme feudal pengaruhi elit Melayu"

Back To Top