KUALA LUMPUR, 4 Rabiulawal 1439H, Khamis – Majikan tidak boleh sesuka hati memberhentikan pekerja serta merta sekiranya syarikat menghadapi masalah, kata Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib.
Bagaimanapun katanya, jika berlaku sedemikian, pekerja boleh menuntut faedah kewangan dengan melaporkan tuntutan di mana-mana cawangan Pejabat Tenaga Kerja.
Ismail berkata, terdapat beberapa perlindungan asas yang diberikan kepada pekerja yang diberhentikan secara tiba-tiba.
“Antaranya, majikan hendaklah memberikan tempoh notis atau membayar gaji ganti notis mencukupi mengikut kontrak perkhidmatan, namun tidak kurang daripada yang ditetapkan di bawah seksyen 12 (2) Akta Kerja.
“Majikan juga diwajibkan membayar faedah pemberhentian kerja mengikut kontrak perkhidmatan tetapi tidak boleh kurang dari kadar yang ditetapkan dalam peraturan kerja, faedah penamatan dan henti kerja sementara 1980,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman yang membangkitkan kebimbangan berhubung pemberhentian pekerja oleh majikan sejak kebelakangan ini.
Selain itu Ismail berkata, majikan juga tidak boleh memberhentikan pekerja tempatan untuk membolehkan pengambilan pekerja asing kerana ia jelas melanggar undang-undang.
Jelas beliau, mengikut Akta Kerja 1955 (Akta 265), seksyen 60 menetapkan tiada majikan boleh menamatkan perkhidmatan pekerja tempatan untuk mengambil pekerja asing.
“Maknanya kerajaan akan bela pekerja tempatan. Kalau ada pemberhentian pekerja, berhentikan dulu pekerja asing. Di bawah akta sama, kegagalan majikan mematuhi peraturan, mereka sudah melakukan kesalahan dan boleh disabitkan denda tidak lebih RM10,000,” katanya.
The post Majikan tak boleh berhentikan pekerja serta merta appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Majikan tak boleh berhentikan pekerja serta merta
0 Komentar untuk "Majikan tak boleh berhentikan pekerja serta merta"