SHAH ALAM, 9 Rabiulawal 1439H, Selasa – Pameran Rehlah Nabawiyyah atau perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW di Kompleks Taman Seni Islam Selangor di sini, menjanjikan pengalaman yang berbeza kepada para pengunjung kerana menerapkan teknologi tiga dimensi dan hologram.
Pengerusi Yayasan Restu, Datuk Abdul Latiff Mirasa berkata pameran yang mempunyai 21 segmen itu akan membawa pengunjung menyelusuri perjalanan hidup Nabi Muhammad SAW bermula sebelum baginda lahir, peristiwa dan peperangan penting dalam Islam, replika rumah, barangan peribadi sehingga kewafatan baginda.
“Dalam pameran di ruang seluas kira-kira 1,858 meter persegi ini, setiap segmen ada menyelitkan persembahan maklumat mengenai sesuatu peristiwa dalam format antaranya tiga dimensi, video, lukisan, dan replika.
“Ruang pameran ini mampu memuatkan seramai 300 pengunjung dalam satu-satu masa dan Yayasan Restu menyasarkan seramai sejuta pengunjung dari dalam dan luar negeri akan datang ke pameran ini yang bermula 18 Nov lepas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata pameran yang menelan belanja kira-kira RM1 juta itu menggunakan kepakaran anak tempatan dan penganjurannya dirancang sejak tiga tahun lepas dengan kajian dan penyelidikan dilakukan di Makkah dan Madinah.
Pameran itu dibuka dari pukul 10 pagi hingga 5 petang dengan tiket berharga RM25 bagi dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak, warga emas serta Orang Kelainan Upaya. – Bernama
The post Pameran perjalanan hidup Rasulullah terap teknologi tiga dimensi, hologram appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Pameran perjalanan hidup Rasulullah terap teknologi tiga dimensi, hologram
0 Komentar untuk "Pameran perjalanan hidup Rasulullah terap teknologi tiga dimensi, hologram"