BANGI, 5 Rabiulawal 1439H, Jumaat – PAS bertanding dalam pilihan raya untuk menang, bukan sebaliknya, kata Naib Presidennya, Ustaz Idris Ahmad.
Namun, sambil mengingatkan ahli parti itu bahawa Allah SWT tidak akan memberi kemenangan tanpa usaha, beliau menegaskan semua ahli PAS perlu memastikan jentera pilihan raya berjalan lancar hingga ke akar umbi.
“Kita jangan hero melalui media sosial, tapi cawangan mati. PAS mendidik ahlinya supaya bekerja keras dan bina kekuatan sendiri tanpa menunggu kelemahan musuh. PAS mesti memastikan jentera berjalan baik hingga ke akar umbi. Tidak cukup hanya ada kekuatan calon tanpa jentera.
“Jika PAS tidak bekerja jangan menyesal kalau kita kalah. Biar kita berusaha. dengan gigih kemudian tawakkal kepada Allah SWT. Kalau pun kalah kita puas hati, kerana kita bekerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
PAS sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding lebih 100 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Melalui Gagasan Sejahtera sebagai blok ketiga, PAS sedang mengenal pasti kawasan Parlimen yang akan ditandingi.
Mengulas lanjut, Idris berkata, beliau tidak mahu PAS menjadi parti yang hendak melawan, tetapi tidak ada kekuatan.
Malah, tegasnya, ahli PAS juga tidak perlu menyalahkan orang lain sekiranya gagal dalam PRU nanti.
“Kita tidak mahu dengar orang PAS mengamuk dan menyalahkan orang lain (terutama musuh PAS) yang tidak membantu PAS sehingga PAS tewas dengan BN. Kenapa kita perlu harap orang yang tidak suka kepada kita untuk membantu kita.
“Biarlah kita salah diri kita. Jangan jadi seperti orang lain, asyik salah PAS sahaja apabila agenda mereka gagal. Kelemahan sendiri tidak mahu melihat. Jom sejahtera bersama Islam. Gagasan Sejahtera,” katanya.
The post PAS bertanding untuk menang, kata Idris Ahmad appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di PAS bertanding untuk menang, kata Idris Ahmad
0 Komentar untuk "PAS bertanding untuk menang, kata Idris Ahmad"