ALOR SETAR, 25 Safar 1439H, Selasa – Semua patung berunsur keagamaan yang terdapat di Taman MBI DesaKu, Padang Meha, Padang Serai perlu segera diubah.
Ahli Parlimen Merbau Pulas, Datuk Ustazah Siti Aishah Ghazali berkata, Exco Kerajaan Negeri Kedah, Datuk Badrul Hisham Hashim dahulu telah berjanji untuk mengubah semua patung berkenaan selewat-lewatnya 30 September lalu.
Namun, sehingga kini, tiada tindakan yang diambil oleh pihaknya untuk mengotakan janji itu.
“Saya dua kali pergi ke sana untuk memantau kedudukan dan kali terakhir saya ke sana pada 9 November lalu, tapi patung-patung itu masih terdapat di situ,” katanya yang dipetik daripada Harakahdaily.
Mengulas lanjut, Siti Aishah berkata, meskipun taman perumahan itu milik persendirian, namun kerajaan berhak untuk memastikan perkara yang boleh menggugat ketidaktenteraman atau sensiviti umat Islam tidak berlaku.
“Binaan seumpama itu tidak dihalang andainya dibina di kawasan majoriti bukan Islam seperti di kampung-kampung orang Siam atau sebagainya.
“Apa yang menjadi masalah ialah apabila taman tema yang berunsur keagamaan itu berada di kawasan perumahan di mana majoriti penduduknya adalah orang Islam.
“Sebagai contoh di Kelantan, kerajaan yang diterajui PAS tidak menghalang pembinaan patung-patung sembahan agama lain. Namun pembinaan itu di tempat-tempat yang sesuai iaitu di kawasan atau kampung orang bukan Islam.
Justeru, tegasnya, pihak PBT, pejabat Mufti dan lain-lain yang berwajib perlu memantau dan melihat akan hal ini dengan lebih serius.
The post Patung berunsur keagamaan di Padang Serai perlu diubah segera appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di Patung berunsur keagamaan di Padang Serai perlu diubah segera
0 Komentar untuk "Patung berunsur keagamaan di Padang Serai perlu diubah segera"