KUALA LUMPUR, 5 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) menggalakkan pengguna perkhidmatan bas membuat laporan pelanggaran undang-undang melibatkan pengusaha bas dan pemandu melalui aplikasi MeterOn dalam telefon pintar.
Ketua Pegawai Operasi, Qamar Wan Noor berkata penumpang bas ekspres serta bas-bas berdaftar di bawah SPAD kini boleh menggunakan aplikasi MeterOn untuk membuat aduan terus kepada SPAD.
“Penumpang bas kini boleh memuat turun aplikasi MeterOn bagi telefon pintar iOS dan Android untuk membolehkan mereka menyemak status syarikat bas ekspres atau terus melapor sebarang kesalahan di bawah bidang kuasa SPAD.
“Suruhanjaya tidak teragak-agak mengenakan tindakan undang-undang kepada pengendali bas dan teksi yang didapati cuai dalam pengurusan operasi,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Menurutnya, aplikasi yang diperkenalkan sejak April 2015 itu sebelum ini hanya melibatkan penumpang teksi untuk mereka membuat aduan.
Dalam pada itu, Pengurus Jabatan Pengurusan Aduan SPAD, Shahridan Abdul Aziz berkata sejak diperkenalkan, sejumlah 35,000 pengguna telah memuat turun aplikasi itu.
“Setakat ini, kita telah menerima 1,821 aduan melalui MeterOn dan kebanyakan aduan melibatkan kes tata kelakuan pemandu taksi dan bas selain daripada aduan lebih had laju,” katanya.
Menurutnya, melalui aplikasi itu pengguna bas boleh membuat aduan syarikat bas yang melanggar peraturan selain mendapatkan beberapa maklumat lain berkaitan perjalanan dan destinasi bas terbabit melalui nombor pendaftaran bas.
Sementara itu, bersempena musim cuti sekolah, perayaan Krismas dan sambutan tahun baharu, SPAD akan membuat penguatkuasaan 24 jam dengan kerjasama beberapa agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan pihak berkuasa lebuh raya.
Operasi bermula hari ini hingga 26 November bersempena cuti persekolahan dan 22 Disember hingga 2 Januari 2018 bersempena perayaan Krismas serta sambutan tahun baharu. – Bernama
The post SPAD galak penumpang bas, teksi kemuka aduan menerusi MeterOn appeared first on Portal Islam dan Melayu.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu di SPAD galak penumpang bas, teksi kemuka aduan menerusi MeterOn
0 Komentar untuk "SPAD galak penumpang bas, teksi kemuka aduan menerusi MeterOn"