Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 16 Rabiulawal 1439H, Selasa – Aman Palestin Berhad akan menganjurkan program 1 juta Untuk Aqsa yang akan membawa penampilan istimewa Tokoh Palestin, Dr Ekrimah Sa’id Sabri bermula pada 14 hingga 21 Disember di sekitar Lembah Klang.
Pengarah Program, Ustaz Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, Dr Ekrimah yang juga Mantan Mufti Besar Baitulmaqdis dan Kawasan Pendudukan Palestin dijemput khas untuk menyertai jelajah selama lapan hari itu di Malaysia.
“Dr Ekrimah Sabri adalah tokoh yang sangat penting dalam perjuangan Palestin dan dikenali ramai di dalam dan luar negara.
“Kita membawanya ke Malaysia dengan harapan lebih ramai umat Islam di Malaysia mengetahui isu sebenar al-Aqsa.
“Kita juga hendak memastikan semua rakyat Malaysia menjiwai perjuangan membebaskan al-Aqsa dan memupuk kesedaran yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.
Ditanya berkenaan pemilihan nama program 1 Juta Untuk Aqsa, beliau berkata, ia adalah bersempena kempen untuk mengumpul dana sebanyak RM 1 juta bagi disumbangkan kepada al-Aqsa.
Katanya, dana itu akan digunakan untuk mengimarahkan Masjid al-Aqsa.
“Fokusnya adalah kepada para murobbitun iaitu orang yang menjaga sekitar al-Aqsa, dari segi kos makan minum dan bantuan kepada ahli keluarga mereka.
“Selain itu, kita juga akan memperuntukkan dana untuk kos halaqah ilmu, baik pulih Masjid al-Aqsa serta pengangkutan di sekitar al-Aqsa untuk pergi ke masjid khususnya untuk orang tua dan kurang upaya,” katanya.
Sehubungan itu, Aman Palestin menyeru umat Islam di Malaysia untuk menyertai jelajah ini, memberi sumbangan dan bersama-sama bersolidariti bersama Palestin.
The post Aman Palestin bawa penampilan istimewa, Dr Ekrimah Sabri jelajah Malaysia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Aman Palestin bawa penampilan istimewa, Dr Ekrimah Sabri jelajah Malaysia
0 Komentar untuk "Aman Palestin bawa penampilan istimewa, Dr Ekrimah Sabri jelajah Malaysia"