Gema Semua Maklumat

Berkongsi rezeki pengukuh silaturrahim sesama manusia: Khutbah

Berkongsi rezeki pengukuh silaturrahim sesama manusia: Khutbah

oleh Che Siti Rekembang Hasbi

BANGI, 3 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Khutbah Jumaat menasihati umat Islam supaya nikmat dan rezeki dapat dikongsikan secara bersama dengan insan-insan yang diuji dengan musibah dan kesusahan.

Berdasarkan teks khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) hari ini, berkongsi rezeki melalui ibadah zakat ini ia membuktikan bahawa Islam amat menekankan sifat prihatin dan kasih sayang sesama manusia dan menolak sikap sombong dan mementingkan diri sendiri.

Katanya, penetapan hukum wajib kepada umat Islam jelas menzahirkan Islam adalah agama yang menyuruh kita bersifat mahabbah dan berkasih sayang antara satu sama lain.

“Berzakat adalah panduan yang diberikan oleh Allah untuk menyelesaikan isu kemiskinan. Perlu kita fahami bahawa dalam harta yang kita miliki ada hak orang lain yang wajib kita asingkan dengan menunaikan zakat.

“Sekiranya setiap individu muslim memahami dan menghayati perkara ini, maka golongan fakir dan miskin akan mendapat pembelaan bahkan pemilikan harta tidak berlegar dalam kalangan orang kaya sahaja,” kata khutbah itu.

Menurut khutbah itu, jika diperhalusi lagi jumlah yang Allah perintahkan kepada kita untuk berzakat adalah sedikit sahaja. Hanya 2.5% sahaja zakat yang wajib dikeluarkan dari harta pendapatan, emas, perak, simpanan dan perniagaan yang cukup nisab dan haul.

Justeru, khutbah berpendapat, orang yang mendakwa bahawa zakat ini menyusahkan dan membebankan sebenarnya mereka terpedaya dengan hasutan hawa nafsu dan syaitan semata-mata.

“Sebelum berlabuhnya tirai tahun 2017, umat Islam ditegaskan agar melunaskan kewajipan zakat untuk memastikan nikmat rezeki yang Allah SWT anugerahkan kepada kita dapat dikongsi bersama dengan insan yang susah dan memerlukan.

“Dan Umat Islam juga disarankan agar memastikan harta gabungan yang bersandarkan nisab emas seperti wang simpanan, pelaburan dan emas termasuklah juga hasil pendapatan, perniagaan, perusahaan, pengeluaran wang dari simpanan KWSP dan lain-lain juga telah dibersihkan dengan berzakat,” katanya.

The post Berkongsi rezeki pengukuh silaturrahim sesama manusia: Khutbah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.


Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Berkongsi rezeki pengukuh silaturrahim sesama manusia: Khutbah
Tag : Malaysia
0 Komentar untuk "Berkongsi rezeki pengukuh silaturrahim sesama manusia: Khutbah"

Back To Top