KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1439H, Rabu – Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sedang mengkaji cadangan penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) berbayar bagi menampung kemasukan pelajar cemerlang di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Majlis Amanah Rakyat (MARA) menerima banyak permohonan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi untuk anak-anak mereka yang cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diterima belajar di MRSM.
“MARA sentiasa memastikan pelajar cemerlang daripada keluarga berpendapatan rendah (B40) dan berpendapatan pertengahan (M40) terutamanya di luar bandar, diberi keutamaan mendapatkan pendidikan menengah terbaik di MRSM.
“Jadi bagi pelajar cemerlang dalam kalangan ibu bapa berpendapatan tinggi yang mampu membiayai kos pendidikan anak-anak mereka boleh ditempatkan di MRSM berbayar tersebut, namun namanya mungkin agak berbeza daripada MRSM sedia ada,” katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Mohd Suhaimi Abdullah pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara, hari ini.
Ismail Sabri berkata, cadangan penubuhan MRSM tersebut bagi memastikan semua pelajar cemerlang yang berkelayakan berpeluang menyambung sesi pembelajaran di sekolah berasrama penuh dan meneruskan kecemerlangan masing-masing. -Bernama
The post Cadangan wujudkan MRSM berbayar sedang dikaji: Ismail Sabri appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Cadangan wujudkan MRSM berbayar sedang dikaji: Ismail Sabri
0 Komentar untuk "Cadangan wujudkan MRSM berbayar sedang dikaji: Ismail Sabri"