ISTANBUL, 24 Rabiulawal 1439H, Rabu – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menolak keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Bercakap pada pembukaan sidang kemuncak luar biasa OIC hari ini, Setiausaha Agungnya, Yousef al-Othaimeen, mengajak pemimpin Islam supaya bekerjasama memberi reaksi kepada tindakan AS itu.
“OIC menolak dan mengutuk keputusan Amerika. Ini adalah pelanggaran undang-undang antarabangsa dan ini adalah provokasi perasaan umat Islam di seluruh dunia. Ia akan mewujudkan keadaan ketidakstabilan di rantau ini dan di dunia,” katanya.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas berkata, AS telah membatalkan rundingan damai Israel-Palestin selepas membuktikan tindakan berat sebelah yang memihak kepada Israel.
“Kami tidak akan menerima apa-apa peranan Amerika Syarikat dalam proses perdamaian, mereka telah membuktikan berat sebelah yang memihak kepada Israel,” katanya.
“Baitulmaqdis adalah dan akan menjadi ibu negara Palestin,” tegasnya.
Sidang Kemuncak OIC itu diusahakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan susulan pengumuman Donald Trump yang mengisytihar dan mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.
Bercakap pada mesyuarat itu, Erdogan menuduh Israel sebagai negara pengganas dan menegaskan pengiktirafan AS terhadap Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dikutuk oleh masyarakat antarabangsa.
“Ia adalah batal dan tidak sah. Tidak ada negara di dunia yang menyokong keputusan ini,” katanya. – Agensi
The post Isu Baitulmaqdis: OIC tak iktiraf keputusan AS appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Isu Baitulmaqdis: OIC tak iktiraf keputusan AS
0 Komentar untuk "Isu Baitulmaqdis: OIC tak iktiraf keputusan AS"