KUALA TERENGGANU, 14 Rabiulawal 1439H, Ahad – Situasi banjir di Terengganu beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa banjir kepada 878 orang daripada 202 keluarga setakat pukul 8 malam ini berbanding 1,479 orang (372 keluarga) pada 8 pagi tadi.
Penurunan jumlah mangsa banjir itu berikutan penutupan lima pusat pemindahan sementara (PPS) secara berperingkat hari ini menjadikan hanya tujuh PPS beroperasi di empat daerah ketika ini.
Mengikut laporan portal Info Banjir, Kuala Nerus masih merekodkan jumlah mangsa banjir paling ramai iaitu 761 orang (172 keluarga) di tiga PPS daerah itu berbanding 824 orang (188 keluarga) pagi tadi.
Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak iaitu 659 orang diikuti SK Tok Jiring (81) dan SK Bukit Nenas (21).
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata walaupun cuaca baik sepanjang hari ini, namun kawasan perumahan di sekitar SK Kompleks Gong Badak itu masih dinaiki air menyebabkan mangsa tidak boleh pulang ke rumah mereka.
“Di Marang pula, keadaan hampir pulih sepenuhnya dengan penurunan ketara iaitu 52 orang (15 keluarga) ditempatkan di dua PPS iaitu SK Bukit Gasing dan SK Pasir Putih berbanding 497 orang (142 keluarga) sebelum ini.
“Jumlah mangsa banjir di Dungun juga menunjukkan penurunan kepada 33 orang (lapan keluarga) berbanding 45 orang (11 keluarga) yang berada di Dewan Sivik Paka pagi tadi,” katanya.
Di Setiu pula, jumlah mangsa kekal 32 orang (tujuh keluarga) di Surau Kampung Nyatoh dan hanya PPS itu masih beroperasi ketika ini. – Bernama
The post Jumlah mangsa banjir Terengganu menurun malam ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di Jumlah mangsa banjir Terengganu menurun malam ini
0 Komentar untuk "Jumlah mangsa banjir Terengganu menurun malam ini"