Oleh Athirah Huda Zalhe
BANGI, 13 Rabiulawal 1439H, Sabtu – Tindakan segelintir pihak yang membantah dan mengkritik usaha Jabatan Pendidikan Daerah Kuantan mewajibkan semua sekolah mengadakan solat jemaah sebelum pelajar pulang, seolah-olah membenarkan prinsip sekularisasi hidup di alam persekolahan.
Kenyataan Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) dan bekas Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Saifuddin Abdullah yang menyifatkan usaha berkenaan akan menganggu gugat perpaduan nasional dan hanya perlu dilaksana di sekolah agama sahaja, adalah amat dikesalkan.
Presiden International Women’s Alliance for Family Institution and Quality Education (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar berkata, syor melaksanakan solat berjemaah di kalangan murid dan guru muslim sebelum pulang, tidak menjejaskan hak mana-mana pelajar lain.
“Saya juga tidak nampak di mana ia akan menyebabkan pelajar non Muslim terasing,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.
Beliau berkata, satu kajian Kementerian Pendidikan Malaysia sebelum ini mendedahkan bahawa 1,457 pelajar sekolah menengah membabitkan pelajar Tingkatan Satu hingga Enam didapati mengambil dadah.
Menurut Dr Rafidah, 74 peratus daripada pelajar terbabit mengambil dadah jenis Methamphetamine, 20 peratus kanabis dan selebihnya dadah jenis lain.
“Pelajar tingkatan lima mencatat peratusan tertinggi pengambilan dadah iaitu 40.6 peratus, diikuti tingkatan empat (32.5 peratus), tingkatan tiga (19.8 peratus), tingkatan dua (5.4 peratus) dan tingkatan satu (0.08 peratus).
“Corak dan statistik pengambilan dadah dikalangan pelajar ini membimbangkan kita. Antara faktor utama dikenalpasti ialah pengaruh di luar sekolah oleh para pengedar yang menjadikan para pelajar sebagai sasaran utama,” katanya.
Dr Rafidah berkata, saranan mewajibkan pelajar muslim menunaikan solat sebelum pulang ke rumah bukan sahaja dapat menanam falsafah solat dalam mencegah perkara mungkar, bahkan mengurangkan masa mereka dengan perkara yang tidak bermoral.
“Kita juga berharap ia dapat mengurangkan budaya melepak dan perhubungan bebas tanpa batasan.
“Ketiganya, program positif di dalam pantauan pihak sekolah sebegini juga dapat mengurangkan fenomena ‘latchkey kids’ atau anak-anak yang pulang awal ke sekolah dan terpaksa berada di rumah sendirian dalam masa yang lama menunggu ibubapa pulang dari kerja.
“Kajian membuktikan ada kaitan fenomena sebegini dengan peningkatan gejala sosial,” katanya.
Katanya, WAFIQ menyambut baik cadangan Pegawai Pendidikan Daerah Kuantan, Mohd Razali Mustafa berkaitan inisiatif tersebut yang dapat melahirkan sifat kepimpinan di kalangan pelajar muslim apabila sebahagian mereka dilatih menjadi imam.
“Dalam jangka masa panjang, pelajar sendiri dapat menjadi pembimbing rakan sebaya melalui solat berjemaah.
“Adalah dikesalkan kerana sebahagian kita hanya tahu mengeluh apabila melihat gejala sosial yang meningkat tetapi tidak memberikan sokongan kepada saranan positif seperti polisi bersolat berjemaah di sekolah sebagai salah satu langkah menangani pelbagai masalah remaja kita,” katanya.
The post WAFIQ bidas PAGE, Saifuddin bantah syor pelajar solat berjemaah sebelum pulang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Credit kepada admin sumber asal Artikel Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb di WAFIQ bidas PAGE, Saifuddin bantah syor pelajar solat berjemaah sebelum pulang
0 Komentar untuk "WAFIQ bidas PAGE, Saifuddin bantah syor pelajar solat berjemaah sebelum pulang"